suria

Erra Fazira Minta Tidak Dikutuk Selepas Bertudung

Erra Fazira

PETALING JAYA: Pelakon Erra Fazira berharap, keputusannya memakai tudung tidak menjadi bahan bualan orang ramai khususnya pengikut media sosial sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan gaya penampilan barunya itu.

Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 41, berkata, sebagai orang baru yang berhijrah dalam usaha menjadi wanita muslimah sejati, dia berharap semua pihak mendoakan kebaikan buat dirinya dan bukan menghentam.

Erra mula bertudung sepenuhnya sempena malam Nisfu Syaaban Isnin lalu
"Kita sepatutnya mendoakan dan saya percaya perlahan demi perlahan saya dan mereka (yang berhijrah) akan melakukan perubahan mutlak. Janganlah hentam yang teruk benar. Menegur tidak salah, tetapi biarlah berhemah. Yang penting penghijrahan itu dalam diri," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Pelakon itu mengesahkan dia kini sudah bertudung sepenuhnya bersempena dengan malam Nisfu Syaaban yang jatuh pada malam Isnin lalu.

Katanya,  sudah tiba masanya dia mengubah penampilannya ke arah wanita muslimah memandangkan niat itu sudah lama disimpan.

"Alhamdulillah... Allah bukakan hati ini. Sebenarnya sudah lama dah (hasrat mahu bertudung), tetapi rasa itu terpanggil kuat apabila masuknya Nisfu Syaaban.

"Dah tak mahu fikir-fikir panjang dan mencari alasan lagi, laksanakan terus niat itu," ujarnya.

Tambah Erra, dia berharap penghijrahannya itu dipermudahkan dan imej itu akan kekal selama-lamanya.

Erra Fazira

Artikel Lain