PETALING JAYA: Penyanyi Rock Awie (Wings) meragui proses fasakh yang dilakukan oleh isterinya Rozana Misbun kerana menganggap ia tidak dilakukan mengikut prosedur yang betul. Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, berkata, bagaimana Rozana boleh memfailkan cerai secara fasakh tersebut sedangkan isterinya itu sendiri tidak tahu dimanakah tempat yang sepatutnya sijil perkahwinan mereka dikeluarkan. "Saya pelik bagaimana dia boleh memfailkan perceraian di Majlis Agama Islam, Songkhla Thailand sedangkan dia sendiri sebelum ini yang dedahkan bahawa pernikahan itu tidak sah mengikut undang-undang negara kerana tidak didaftar di mana-mana. "Kami berkahwin di dalam sebuah rumah yang diuruskan oleh ejen dan selepas itu ejen tersebut yang uruskan sijil pernikahan itu. Namun ejen itu pun sudah melarikan diri. Bagaimanapun dari segi peraturan Islam, pernikahan itu sah," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis. SILI KLIK: Rozana Misbun Berjaya Peroleh Cerai Taklik Terhadap Awie Di Songkhla Awie berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Rozana kepada mStar Online pada Rabu bahawa dia berjaya memfasakhkan cerainya dari pejabat Majlis Agama Islam, Songkhla, Thailand pada 1 November 2014. Rozana, 36, berkata, permohonan fasakh itu berjaya diperoleh selepas pihak Majlis Agama Islam Songkhla, berpuas hati dengan keterangan serta bukti diberikannya selepas tragedi 2 Jun 2014 iaitu kejadian dibelasah oleh Awie. Awie Sementara itu, Awie berkata, proses perceraian tersebut seharusnya melalui prosedur yang betul iaitu mengesahkan perkahwinan mereka terlebih dahulu sebelum memfailkan perceraian. "Saya hidup lagi dan tidak akan menceraikan dia sebelum semua kes kami selesai di mahkamah dan saya anggap apa yang dia dedahkan itu adalah satu pembohongan. "Kalau mahu cerai perlulah ikut prosedur yang betul di mahkamah kerana ia adalah hukum Allah, jangan gunakan duit untuk beli semua perkara itu sebagai jalan mudah," ujarnya. Selain itu, Awie turut mempersoalkan kenapa baharu sekarang Rozana mahu mendedahkan perceraian tersebut iaitu memgambil masa sehingga tujuh bulan. Dia menganggap tindakan tersebut sengaja dilakukan bagi menganggu fokusnya terhadap konsert 'Wings Ta'kan Melayu Hilang Di Dunia' yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya di sini pada 10 Jun depan. "Saya sentiasa bersedia dengan rancangan-rancangan dia untuk mengenakan saya. Saya tahu ada orang di belakangnya yang merancang semua ini. "Dia tahu saya sedang sibuk beri tumpuan pada konsert akan datang dan perkara ini memang sangat menjejaskan fokus saya berlatih untuk persiapan konsert," katanya. Terdahulu, Awie menghadapi tuduhan di Mahkamah Majisteret Ampang, Selangor dekat sini kerana mendatangkan kecederaan terhadap Rozana yang dibicarakan menurut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. Pasangan berkenaan turut berhadapan kes tuntuan hak jagaan kekal anak di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan dekat sini.