PETALING JAYA: Pengurusan Datuk Ramli Sarip kesal apabila nama penyanyi itu digunakan untuk menipu peminat kononnya beliau akan muncul pada pelancaran sebuah saluran radio di Kedah. Pengurus Ramli iaitu Juria Banding berkata, penyanyi itu tidak terlibat dengan acara tersebut dan poster yang menampilkan gambarnya boleh mendatangkan kekeliruan peminat. "Sebenarnya kami tidak tahu mengenai perkara ini sehinggalah dimaklumkan peminat yang keliru dengan acara itu memandangkan Ramli akan mengadakan rakaman nyanyian Dikir Zikir untuk program Astro pada 12 Jun ini di Padang Terap, Kedah. "Terkejut juga dibuatnya kerana risau jika ada peminat yang sanggup ke acara itu semata-mata mahu berjumpa Ramli, sebaliknya ia hanyalah tipu daya sahaja," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Ahad. Poster pelancaran iRadio Darulaman FM yang memaparkan wajah Ramli Sarip. Terdahulu satu poster pelancaran iRadio Darulaman FM telah diedarkan yang antara lain mengajak orang ramai untuk bersama-sama menyertai majlis berkenaan yang bakal diadakan di Taman Jubli Emas Alor Setar, Kedah pada 12 - 14 Jun ini. Selain Ramli Sarip disenaraikan bakal membuat persembahan, nama artis lain yang turut dicetak pada poster berkenaan antaranya Adira, Bandi (Amuk), Pak Long, Lan Sutera dan Ferhad Najib. Dalam pada itu, Juria turut menyifatkan pihak penganjur sengaja ingin menarik perhatian umum dengan menggunakan nama Ramli. Kata Juria, perkara seperti itu bukanlah kali pertama berlaku, sebaliknya ramai penganjur yang gemar mengambil kesempatan memaparkan wajah Ramli bagi tujuan promosi. "Pada pendapat saya juga, penganjur sengaja meletakkan wajah artis yang tidak terlibat dengan mereka semata-mata mahu mendapatkan penaja. "Tetapi saya rasa cara itu tidak patut. Apa-apapun, kalau nak guna gambar Ramli, beritahu kami," tegasnya. Tambah Juria, pihaknya juga ingin mengambil tindakan serius terhadap perkara ini tetapi tidak tahu cara untuk menghubungi penganjur acara berkenaan. Ramli kini berada di Singapura atas urusan kerja.