PETALING JAYA: Penyanyi Afgan sering menjadi bahan pertikaian orang ramai selepas terpilih menjadi juri untuk program realiti X Factor Indonesia pada musim ini. Afgan atau nama sebenarnya Afgan Syahreza, 26, berkata ramai pihak tidak berpuas hati apabila diamenggantikan tempat Anggun sebagai juri atas faktor usianya yang masih muda. “Ini kali pertama saya menjadi juri bagi menggantikan tempat Anggun. Ramai yang mempertikaikan kedudukan saya menjadi mentor kerana terlalu muda dan mereka mahukan pengganti senior yang lebih berpengalaman. “Ramai bertanya kenapa Afgan? Kenapa tidak digantikan dengan penyanyi perempuan yang lebih lama berada dalam industri?,” katanya kepada mStar Online. Afgan ditemui pada sidang media konsert suara hati di DOME, The Curve disini pada Isnin. Afgan Tambah Afgan, biarpun menjadi pertikaian namun dia tetap mengambil perkara itu sceara positif dan tidak menganggu posisinya sebagai seorang juri. “Pada saya mereka wajar mempersoalkan kedudukan saya kerana dari situ saya boleh membuktikan pada semua yang saya boleh lakukan. “Pihak X Factor juga menawarkan saya sebagai juri dan mereka tahu bahawa saya mampu lakukan jadi saya perlu bertanggunjawab melaksanakan tugas ini sebaik mungkin,” katanya. Sementara itu, Afgan berkata dia berasa terkejut melihat bakat anak muda Indonesia yang mempunyai potensi besar untuk menjadi penyanyi pada musim kali ini. Katanya biarpun ada di kalangan peserta baru berumur 17 tahun tetapi nyanyian yang disampaikan seperti orang berpengalaman dan sangat professional. Rancang realiti X Factor tersebut akan memulakan persembahan pentas pertama pada Jumaat ini dan tamat pada bulan September. Artis lain yang menjadi mentor dan juri untuk rancangan realiti ini ialah Datuk Rossa, Ahmad Dhani dan Bebi Romeo. Dalam perkembangan lain, Afgan akan mengadakan konsert Suara Hati Afgan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada September depan. Afgan akan menyampaikan sebanyak 20 buah lagu dan penyanyi Datuk Rossa akan turut tampil mengadakan persembahan pada konsert tersebut. Tiket konsert yang dianjurkan Netzah Production Sdn Bhd ini akan dijual serendah RM125 sehingga RM455 bermula 16 Jun ini. Diskaun sebanyak 15 peratus akan diberikan buat 250 pembeli pertama. Tiket boleh dibeli dengan melayari www.mytickets.asia atau membuat panggilan di 03-80808700