PETALING JAYA: Penyanyi baharu Fahmi Esmail yang dicungkil bakatnya dari Mentor Legend nekad untuk melepaskan kerjayanya sebagai pramugara kerana mahu menjadi seorang penyanyi. Fahmi atau nama sebenar Mohd Zulfahmi Bin Esmail, 27, berkata keputusan tersebut bakal diambil jika pihak pengurusan syarikat penerbangan AirAsia itu tidak lagi berminat untuk menyambung tempoh cuti tanpa gajinya. "Saya bukan tiada hati untuk lagi menjadi pramugara dan secara jujurnya ia merupakan pekerjaan yang disukai tetapi sekarang ini masa tidak mengizinkan saya bekerja seperti dahulu. "Jika nanti tempoh cuti tanpa gaji itu tidak boleh dilanjutkan mungkin saya akan meletak jawatan sebagai pramugara untuk bergelar sebagai penyanyi,” katanya kepada mStar Online. Fahmi Esmail Fahmi ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya bertajuk Halang, di Warner Music Malaysia, Menara TSR, Mutiara Damansara, di sini pada Selasa. Ini merupakan single pertamanya selepas berjaya memasuki pentas Mentor Legend untuk menjadi protege kepada komposer Ajai. Tambah Fahmi, dia yakin dengan keputusan yang bakal diambilnya itu kerana menganggap dia berada dilandasan yang betul untuk menjadi seorang penyanyi. "Saya yakin dengan keputusan yang diambil untuk bergelar sebagai seorang penyanyi kerana saya percaya pada bakat yang dianugerahkan. "Kini saya merasakan sudah berada di landasan yang betul dan bersedia untuk menghadapi cabaran sebagai artis," jelasnya. Dalam pada itu, Fahmi berkata, dia percaya dengan bakat yang ada pada untuk bertahan lama dalam industri kerana mempunyai pihak pengurusan yang cekap. Sementara itu bercerita mengenai Halang, Fahmi berkata, single tersebut mengisahkan tentang kisah cinta yang tidak kesampaian. "Lagu ini mengisahkan mengenai percintaan yang terhalang dan ia merupakan lumrah pada insan bercinta kerana ada terkandas kerana faktor keluarga dan agama. "Alhamdulillah rakaman lagu ini berjalan lancar hasil bantuan abang Ajai dan akhirnya impian melahirkan single tersebut sudah termakbul," katanya.