KUALA LUMPUR: Pelakon Kamal Adli menolak untuk digandingkan dengan aktres Emma Maembong dalam mana-mana sesi fotografi akhbar ataupun majalah selepas gara-gara gosip percintaan mereka berdua. Kamal, 29, berkata, pendiriannya itu dibuat bagi mengelakkan hubungan mereka terus disalahtafsirkan oleh semua pihak. "Ada yang minta untuk menggandingkan kami dalam sesi fotografi tetapi rasanya lebih baik kami tidak berbuat demikian. "Ini kerana nanti akan timbul pelbagai cerita kurang enak seperti mana berlaku sebelum ini," katanya kepada mStar Online. Kamal ditemui pada majlis pelancaran dua drama terbaharu iaitu Puteri Gunung Ledang dan Jodoh Sebelah Pintu yang diadakan di Menara Kuala Lumpur di sini, Rabu. Kamal Adli Dua drama berkenaan bakal disiarkan menerusi HyppTV menerusi saluran HyppSensasi (116). Kamal dan Emma memegang peranan utama dalam drama bersiri Jodoh Sebelah Pintu arahan Michael Ang yang akan disiarkan pada 29 Julai depan. Dalam pada itu, Kamal menegaskan hubungannya dengan Emma sekadar teman biasa dan masih terlalu awal untuk bercakap soal cinta. Bagaimanapun, Kamal tidak menafikan Emma adalah wanita paling rapat dengannya ketika ini dan dia selesa bersahabat dengannya. "Kami masing-masing ada pengalaman pahit dalam percintaan sebelum ini dan lebih baik kami bersahabat sahaja buat masa sekarang. "Tidak ada apa yang ingin kami sorokkan pun dan meletakkan soal jodoh kepada ketentuan Allah," jelasnya. Sementara itu, Emma yang turut ditemui pada majlis sama senada dengan Kamal namun memberitahu tidak tertekan apabila sering dikaitkan dengan pemuda tersebut. "Benar kami rapat tetapi sebagai sahabat dan saya senang dengan sikapnya yang sentiasa menjadi diri sendiri," jelasnya.