KUALA LUMPUR: Sebanyak 400 jenama pakaian milik artis dan usahawan bumiputera akan menghangatkan KL Raya Fest (KLRF) 2015 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Putra Kuala Lumpur (PWTC) 24 jam berturut-turut selama tiga hari bermula 11 Julai depan. Ketua Pegawai Eksekutif, Mood Republik, Kimi Iskandar Ismail berkata, penganjuran kali kedua di PWTC itu bukan sekadar menggalakan usahawan bumiputera malah ia suatu acara amal bagi mengutip dana untuk pihak yang memerlukan. Emma Maembong bakal menjual barangan jenamanya. “Usahawan yang berniaga di program ini akan menyumbang dan juga menderma untuk beberapa pihak yang memerlukan seperti Rohingya Education Centre (REC), Madrasah Al-Nur Kemboja dan Yayasan Al Ijabah. “Alhamdulillah menerusi beberapa acara yang sama pada tahun lepas, kami berjaya mengutip sebanyak RM600,000 daripada semua usahawan yang terlibat,” katanya kepada mStar Online. Antara artis yang mempunyai jenama sendiri dan turut terlibat dalam KLRF 2015 ini ialah Neelofa, Didie Alias, Izzue Islam, Siti Nordiana, Liyana Jasmay, Memey Suhaiza, Emma Maembong dan Norman Hakim. Afdlin Shauki yang akan menyertai KLRF kali ini berkata, acara dianjurkan oleh Mood Republik itu mampu membantu usahawan bumiputra disamping beramal untuk kebajikan. "Saya sangat percaya dan yakin dengan mereka selepas melihat kejayaan acara yang dianjurkan oleh Mood Republik tahun lalu dan ini merupakan platform besar untuk usahawan di Malaysia. “Menerusi program ini kami akan dapat sama rasa tempias niaga dan juga mengabungkan peminat-peminat untuk menjana ekonomi usahawan disamping melakukan kerja amal,” katanya. Sementara itu, antara jenama besar yang menyertai KLRF 2015 ialah CalaQisya, Sugarscarf, Jubah Souq, Bella Ammara, Aidijuma, Zawara, Naelofar Hijab, Jelita Sara dan banyak lagi. Afdlin Shauki Pada acara pertama KLRF 2014 sebelum ini, Mood Republik telah mengadakan jelajah acara di Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang. Setiap kali acara ini berlangsung, ia akan dibanjiri ramai pengunjung kerana kebiasaanya seramai 10,000 menanti di pintu masuk 12 jam sebelum KLRF bermula. Biarpun diadakan buat pertama kalinya jualan tanpa henti selama 27 jam pada kali ini, pihak PWTC tetap menyediakan juadah berbuka puasa dan solat terawih untuk semua pengunjung yang hadir.