suria

Dayang Juara 'Ceria Popstar 3'

KUALA LUMPUR: Peserta berasal dari  Sabah, Dayang diumumkan sebagai juara pertandingan Ceria Popstar 3 yang disiarkan secara langsung dari Studio 1 Astro, Bukit Jalil di sini, Jumaat.

Dayang atau nama sebenar Dayang Izyan Zawanie Iraril, 15, membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 serta trofi sumbangan Astro.

Dalam konsert akhir itu, Dayang yang juga anak didik kepada penyanyi Stacy membawa lagu Terbaik Bagimu, nyanyian Datuk Siti Nurhaliza pada pusingan pertama dan Diam pada pusingan kedua yang juga merupakan lagu baharu.

Sementara tempat kedua dimenangi oleh Zack (Zackiddin Zachry),13, dengan menyanyikan lagu Nur Nilam Sari dan Cik Adik Cik Abang (lagu baharu) membawa pulang wang tunai  RM15,000 dan trofi.

Tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh Fikry (Muhammad Fikry Izzudin Mohd Fuad) dan Vanessa (Vanessa Reynauld) dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 dan RM5,000 dan trofi.

Peserta Adinda pula mendapat tempat kelima. Bagaimanapun peserta kelahiran Perak ini hanya menerima hadiah trofi.

Acara ini dihoskan oleh Nabil Ahmad.

Pada pertandingan akhir ini, jumlah markah dikira 50 peratus daripada juri profesional, manakala 50 peratus daripada khidmat pesanan ringkas (SMS) orang ramai.

Juri profesional terdiri daripada Datuk AC Mizal, Johan (Raja Lawak) dan Ziana Zain manakala penaung bagi konsert tersebut ialah Datuk Aznil Nawawi.

Malam kemuncak akhir itu turut dimeriahkan dengan persembahan Firman AF2014, MOJO, Aweera, Fiq dan Black.

Ceria Popstar 3 bersiaran setiap Jumaat pada pukul 9 malam di saluran Astro Ceria, Astro Prima dan Astro Maya HD.

Artikel Berikut

Artikel Lain