PETALING JAYA: Pelakon Azwan Kombos mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halamannya di Kota Belud, Sabah bagi melawat keluarganya selepas negeri itu mengalami gempa bumi sederhana kedua pada Sabtu lalu. Azwan, 30, berkata, dia bimbang dengan keadaan keluarganya selepas gempa pertama yang turut memberi kesan kepada kediaman keluarga. "Biarpun tidak ada sebarang kerosakan teruk selepas gempa kedua baru-baru ini tetapi saya bimbangkan keadaan mereka dan mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi melawat mereka. "Kejadian pertama sebelum ini beberapa barang dalam rumah seperti televisyen, bingkai gambar, buku dan peralatan dapur jatuh ke lantai," katanya kepada mStar Online. Terdahulu pada 5 Jun lalu, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter di Ranau yang mengorbankan 18 nyawa serta merosakkan banyak harta benda. Gempa bumi sederhana 5.1 magnitud pula direkodkan pada kedalaman 10 kilometer di Ranau pukul 2.29 pagi Sabtu lalu. Dalam pada itu, Azwan berkata, biarpun Kota Belud terletak 25 kilometer daripada Ranau namun menurut ibunya, gegaran kuat turut dirasai sehingga menyebabkan mereka sekeluarga panik. "Kalau dari Kota Belud Gunung Kinabalu itu sebenarnya dekat dan dari rumah saya boleh nampak gunung tersebut dan tidak hairan apabila kawasan tersebut turut merasai gegaran. "Bagaimanapun Alhamdulillah keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan namun saya masih bimbangkan sekiranya akan berlaku lagi gempa bumi selepas ini," ujarnya. Gempa bumi itu bukan sahaja dapat dirasai di Kota Belud malah beberapa daerah berhampiran termasuk Kota Kinabalu, Beluran, Kota Marudu, Keningau dan Kinabatangan. Tambah Azwan lagi, dia juga mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung bagi menyambut awal Ramadan bersama-sama keluarganya. Dalam perkembangan lain, Azwan berkata, dia kini sedang sibuk dilokasi penggambaran drama bersiri Gila Tak Cinta bersama Atikah Suhaimie untuk siaran HyppTV.