KUALA LUMPUR: Pengacara Datuk AC Mizal yakin untuk meluaskan lagi saluran radio Internet kendaliannya iaitu Peace Yall FM ke Indonesia selepas mendapat sambutan menggalakkan sejak dilancarkan di negara ini pada Mei lalu. AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 43, berkata, sejak awal lagi dia ingin menembusi pasaran Indonesia kerana bahasa yang digunakan oleh mereka mempunyai persamaan seperti Malaysia. "Peace Yall FM bakal membuka satu cawangan lagi di Indonesia dalam masa terdekat ini dan semua deejay dari negara itu. "Tujuan untuk menembusi pasaran di sana kerana penggunaan bahasa mereka lebih kurang sama seperti malaysia," katanya kepada mStar Online. AC ditemui pada majlis pelancaran & sidang media OMG Fest All Star Ramadan, di Hotel Swiss Garden, Kuala Lumpur, di sini pada Rabu. Turut hadir pada majlis itu ialah Datuk Aliff Shukri, Datin Amelia Rosnaida dan Enot. Tambah AC, dia kini dalam proses untuk mencari deejay yang sesuai untuk saluran Peace Yall FM di Indonesia. Dari kiri; Datuk Aliff Shukri, Enot, Liza Baharom, Amelia Rosnaida, AC Mizal pada majlis pelancaran OMG Fest. "Saya bercadang untuk mengadakan temuduga terbuka dengan rakyat di sana tetapi risau dengan kehadiran orang ramai yang boleh mencecah puluhan ribu orang jadi kami mengambil keputusan untuk buka kepada agensi talent sahaja. "Sukar sebenarnya untuk mencari deejay di sana kerana kita tidak tahu berapa harga yang patut dibayar kepada mereka," katanya Dalam pada itu, AC berkata dia mengambil ini sebagai satu cabaran untuk menembusi pasaran Indonesia kerana menggangap setiap pelaburan yang dilakukan mempunyai risiko tersendiri. Menurut AC, dia telah melaburkan jutaan ringgit untuk menubuhkan Peace Yall FM yang berkonsepkan radio bervisual di Indonesia. "Saya tidak akan memberitahu berapa jumlah pelaburan terhadap stesen radio ini tetapi saya melaburkan jutaan ringgit untuk menjayakan Peace Yall FM," jelasnya. Dalam pada itu mengenai OMG Fest!, seramai 70 vendors bakal menjual produk mereka di bawah satu bumbung dengan menawarkan harga yang jauh lebih murah daripada pasaran semperna Hari Raya Aidilfitri nanti. Bazar ini turut disertai beberapa artis ternama termasuklah Mila Jirin, Ifa Raziah, Zarina Zainuddin, Enot, Catriona Ross dan Zur Eda. OMG Fest! akan diadakan pada 7 hingga 10 Julai ini di Kristal Hall, TM Convention Centre (TMCC) , Menara Telekom, Bangsar dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.