KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Amy Mastura memberitahu sesi fotografinya bersama sebuah majalah baru-baru ini pendorong untuk dia mengambil keputusan mengenakan hijab. Amy, 44, berkata, penggambaran berkenaan yang memerlukannya untuk berhijab telah membuka hatinya untuk terus kekal bertudung. "Hasrat untuk memakai tudung itu sudah lama saya simpan tetapi tidak tahu mahu bermula dari mana selain masih belum bersedia. "Alhamdulillah sesi fotorgrafi yang memerlukan saya bertudung menjadi punca saya teruskan imej berkenaan sehingga sekarang," katanya kepada mStar Online. Ibu kepada dua cahaya mata itu ditemui pada majlis berbuka puasa syarikat rakaman Sony Music yang diadakan di Hotel Royale Chulan di sini, Jumaat lalu. Tambah Amy, dia sangat bersyukur kerana diberi hidayah oleh Allah untuk melakukan penghijrahan kecil tersebut ditambah dengan kedatangan bulan Ramadan. Dalam pada itu, Amy berkata, keluarga terutamanya suami dan anak-anaknya berasa pelik dengan perubahan tersebut namun menyokong keputusannya untuk berhijab. Kata Amy, apa yang dilakukan adalah satu penghijrahan kecil untuk menjadi seorang muslim yang lebih baik pada masa hadapan. "Masih banyak yang saya perlu perbaiki tentang diri sendiri dan menutup aurat ini adalah salah satu langkah kecil dan berharap peminat sentiasa mendoakan saya agar dapat menjadi muslimah lebih baik selepas ini," katanya. Sementara itu, Amy berkata, dia tidak bercadang untuk memperlahankan karier seninya selepas berhijab sebaliknya akan meneruskan seperti biasa.