suria

Remy Ishak Anjur Pesta Jualan Mahu Bantu Peniaga

Remy mendapat kerjasama daripada Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak tergerak hati untuk menganjurkan Santai Lebaran Fiesta 2015  kerana ingin membantu peniaga Melayu menambah pendapatan bersempena Hari Raya Aidilfitri bulan hadapan.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 33, berkata, dia sentiasa berasa kagum dengan semangat masyarakat Melayu terutamanya golongan belia yang gemar berniaga tetapi tidak mempunyai platform untuk mempromosikan produk masing-masing.

"Apabila melihat ramai anak muda kita yang berniaga pelbagai jenis barangan saya kagum kerana bidang ini bukan mudah.

"Atas kesedaran itu saya tergerak hati untuk menganjurkan festival berkenaan sebagai pentas untuk peniaga mempromosikan produk mereka," katanya kepada mStar Online.

Remy mengadakan karnival berkenaan untuk membantu peniaga Melayu.

Santai Lebaran Fiesta 2015 akan berlangsung dari 25 Jun hingga 16 Julai depan di Laman Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Artis terkenal seperti Nad Zainal, Erra Fazira, Serina Redzuwan, Sherry Alhadad, Puteri Balqis Azizi dan Shuib turut membuka gerai jualan pada festival berkenaan.

Dalam pada itu, Remy berkata, keunikan festival itu adalah untuk mengenengahkan konsep Melayu tradisi dari segi muzik dan gaya.

Malah kata Remy, bagi menghormati bulan Ramadan, semua aktiviti juga dilakukan selepas selesai solat Terawih dan hiburan diketengahkan juga adalah berlandaskan Islam.

"Sepanjang tiga minggu berlangsung Santai Lebaran Fiesta bukan sahaja sebagai sebuah pusat jualan tetapi pelbagai aktiviti seperti majlis berbuka puasa, bacaan ayat suci Al Quran, persembahan ghazal dan keroncong dan jualan 'car booth sales' oleh selebriti," ujarnya.

Sementara itu, Remy berkata, pihaknya turut menyediakan tabung untuk membantu pelajar-pelajar Mahaad Tahfiz Aman Bistari bagi membina sebuah sekolah yang dianggarkan bernilai RM1.7 juta.

Artikel Lain