suria

Elizabeth Tan Bukan Punca Adira & Shahrul Nasrun Putus Tunang

KUALA LUMPUR: Teka teki sejauh manakah kebenaran gosip putus tunang penyanyi Adira Suhaimi akhirnya terjawab apabila perkara itu disahkan sendiri oleh bekas tunangnya, Shahrul Nasrun.

Shahrul, 29,  yang merupakan Pengerusi Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia berkata, pertunangannya dengan peserta Akademi Fantasia itu berakhir beberapa bulan lalu kerana tidak lagi sehaluan dan bukan berpunca daripada orang ketiga seperti yang dilaporkan sebuah blog hiburan.

"Saya sudah putus tunang beberapa bulan lalu dan ia terjadi kerana kami sudah tidak lagi sehaluan. Kami hanya merancang dan Tuhan yang menentukan. Saya akur dengan ketentuan itu.

"Saya juga tidak boleh komen lebih kerana itu soal peribadi dan saya doakan semoga Adira berjaya dalam kerjaya dan doa saya yang terbaik untuk dirinya," ujar Shahrul menerusi applikasi WhatsApp kepada mStar Online pada Jumaat.

Elizabeth Tan.

Sementara itu, Shahrul turut menafikan laporan sebuah blog hiburan bahawa dia mempunyai hubungan rapat atau cuba mendekati penyanyi Elizabeth Tan sehingga menyebabkan pertunangan itu putus.

Malah Shahrul berkata, dia sentiasa bersikap mesra dengan semua orang tidak kira lelaki atau perempuan apabila ia berkaitan urusan kerja.

"Mungkin ada salah faham, saya mesra dengan semua orang tidak kira lelaki dan perempuan bila ia berkaitan soal kerja. Setakat ambil berat tanya sudah makan atau sebagainya dalam perbualan kerja, saya rasa ia tidak salah," ujarnya.

Adira dan Shahrul mengikat tali pertunangan pada 22 Disember tahun lalu dan mereka merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada Sepetmber tahun ini.

Adira, Shahrul Nasrun

Artikel Berikut

Artikel Lain