KUALA LUMPUR: Pelakon Rozita Che Wan telah menyediakan 20 pasang baju kurung untuk digayakan bersempena dengan Aidilfitri bulan hadapan. Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta, 41, berkata, dia turut menyediakan jumlah sama untuk suaminya, Zain Saidin dan anak perempuan mereka, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia lapan bulan. Ia menjadikan keseluruhan untuk mereka tiga beranak ialah 60 pasang baju. "Semua baju untuk hari raya sudah pun siap dan jumlah itu sebenarnya bukanlah hanya untuk dipakai pada hari raya sahaja tetapi ketika menghadiri jemputan rumah terbuka sepanjang sebulan Syawal. "Paling penting bukan saya sahaja ada 20 pasang baju tetapi Zain dan Aaisyah juga," katanya. Che Ta teruja menyambut Hari Raya pada tahun ini. Che Ta ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusan Laugh Out Loud (LOL) Sdn Bhd di Hotel Sunway Putra di sini, Khamis. Tambah Che Ta, dia sebenarnya lebih teruja untuk melihat Aaisyah tampil bergaya di pagi raya kerana sudah lama menantikan saat tersebut. Jelasnya, persediaan untuk Aaisyah paling meriah memandangkan ini adalah tahun pertama dia dapat menyambut hari raya bersama anaknya itu. "Teruja sebab akhirnya dapat saya beli dan pakaikan baju cantik-cantik untuk anak perempuan kerana sebelum ini asyik tengok orang lain sahaja. "Sejak awal lagi saya sudah sediakan untuk Aaisyah malah kebanyakkan baju kami adalah dari rona sama," jelasnya. Rozita bersama anaknya, Aaisyah Dhia Rana. Dalam perkembangan sama, Che Ta berkata, tahun ini dia terlebih dahulu beraya di rumah ibu mertuanya di Bukit Antarabangsa, Ampang di sini sebelum pulang ke kampung halamannya di Alor Star, Kedah. Kata Rozita, dia akan menghabiskan masa di Kedah selama lima hari sebelum kembali ke ibu negara untuk menyambung aktiviti seninya. "Kami sekeluarga akan berkonvoi bersama beberapa adik-beradik lain pulang ke Kedah dan akan mengambil kesempatan ini untuk menziarahi sanak-saudara di sana. "Tetapi pada hari raya pertama kami akan bersama ibu Zain di Bukit Antarabangsa terlebih dahulu," katanya.