suria

Penyanyi Veteran Samsudin Lamin Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Penyanyi veteran, Samsudin Lamin, 76, meninggal dunia pada Rabu di kediamannya di Kampung Setia, Batu 18, Rawang dekat sini.

Menurut isterinya, Yunetta Yusof, 57, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.40 pagi akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

"Dia jatuh di biliknya pada 28 Mac lalu dan sejak itu keadaan kesihatan arwah semakin buruk dan tidak mampu untuk berjalan, selain itu dia juga ada jangkitan kuman pada paru-paru.

"Sejak jatuh itu, dia ada beberapa kali dimasukan ke Hospital Sungai Buloh dan pagi tadi juga kami sudah panggil ambulans untuk membawanya ke hospital, namun doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia di rumah," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Yunetta berkata, sebelum suaminya itu meninggal dunia, Allahyarham ada mengadu sesak nafas sebelum rebah dipangkuannya.

Tambahnya, ketika kejadian, dia sedang melakukan rutin harian untuk memandikan dan menukar lampin suaminya itu.

"Saya tidak menyangka sebab pada mulanya dia hanya mengadu sesak nafas dan tiba-tiba pengsan di pangkuan saya dan apabila doktor datang arwah sudahpun meninggal dunia," katanya.

Jenazah Allahyarham akan dimandikan di Masjid Kampung Setia dan dikebumikan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Batu 20, Kuang, dekat sini.

Samsudin Lamin terkenal dengan lagu-lagu Melayu asli antaranya Titisan Embun Pagi, Seri Siantan dan Bukit Malawati.

Samsudin Lamin, Meninggal Dunia

Artikel Lain