PETALING JAYA: Pelakon Hanis Zalikha memberitahu tindakan suaminya pelakon Hairul Azreen, 27, memuat naik gambar-gambar barangan peribadi yang dimiliki bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kemewahan. Hanis, 25, berkata, tujuan sebenar suaminya berbuat demikian adalah untuk memberi inspirasi kepada anak-anak muda lain supaya berusaha keras bagi mencapai apa yang mereka impikan. "Hairul jenis yang sangat suka beri inspirasi kepada orang lain, apa yang dia dapat itu adalah satu pencapaian. Dia anggap dirinya wakil kepada golongan mat rempit kerana dia juga seperti mereka dulu. Sebab itu kejayaannya adalah dorongan kepada orang lain juga. "Contohnya, dia sudah dapat wanita yang dia idamkan, jadi dia mahu orang lain juga boleh dapat jika mereka berusaha, dia mahu orang jadikan dia sebagai ikon," katanya kepada mStar Online. Hairul dan Hanis selamat diijab kabul pada 5 Jun lalu. Hanis ditemui pada majlis berbuka puasa Safi Ramadan Al-Mubarak, di Hotel Royale Bintang, di sini, malam Khamis. Hanis diminta mengulas tentang tindakan suaminya Hairul Azreen yang dikatakan sengaja memuat naik gambar-gambar barangan mewah untuk menunjukkan kemewahan. Perkara tersebut telah menimbulkan rasa tidak senang dan mengundang komen negatif pengikut-pengikutnya di Instagram. Tambah Hanis, mereka pernah berbincang tentang perkara tersebut dan membenarkan gambar-gambar berkenaan dimuat naik selepas mendapat penjelasan daripada Hairul sendiri. "Saya pernah bertanya dan meminta dia tidak menunjukkan gambar-gambar yang boleh menimbulkan persoalan orang ramai, namun dia ada alasan sendiri. "Orang lain mungkin ada pandangan dan penilaian mereka sendiri. Dia juga ada pandangan dan niat yang baik sebab itu saya sebagai isteri, benarkan," ujarnya. Dalam pada itu, Hanis berkata, dia tidak tertekan dengan pandangan serong segelintir masyarakat terhadap tindakan suaminya itu yang dikatakan sebagai riyak. Katanya, sebagai isteri dan orang yang rapat dengan Hairul, dia yakin bahawa orang ramai memerlukan masa untuk menerima mesej sebenar yang ingin disampaikan Hairul. "Saya tidak tertekan dengan komen orang di Instagram kerana saya faham apa yang cuba disampaikan itu, cuma orang ramai mungkin perlu masa untuk terima. "Pada saya apa yang dia lakukan itu bukan menunjuk pun, semua orang yang ada akaun Instagram pun buat perkara yang sama iaitu ambil gambar apa sahaja yang mereka mahu dan kongsi bersama pengikut lain," katanya. Pasangan Hairul Azreen dan Hanis Zalikha selamat diijab kabul pada 5 Jun 2015 di kediaman wanita itu di Bukit Jelutong dekat sini.