AMPANG: Rozana Misbun memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Isnin dia tidak menggunakan telefon miliknya untuk merakamkan bukti dia dibelasah suaminya, Awie (Wings) pada 2 Jun tahun lalu kerana gajet jenis iPhone 4 itu rosak. Rozana, 36, semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Reen berkata, sehari sebelum kejadian, perselisihan faham antara dia dan suami telah berlaku dan Awie bertindak membaling telefon itu ke dinding sehingga rosak. "Pertengkaran berlaku selepas saya menunjukkan gambarnya bersama wanita lain yang terdapat dalam telefon berkenaan sebelum dia berang dan membalingnya ke dinding," katanya. Rozana berkata demikian sebagai menjelaskan sebab dia menggunakan telefon bimbit milik pembantu rumahnya untuk merakamkan gambar keadaan wajahnya selepas dia dipukul lelaki berkenaan. "Saya mempunyai dua buah telefon bimbit iaitu jenama BlackBerry berwarna putih dan iPhone 4 tetapi kamera BlackBerry tidak boleh digunakan dan sebab itu saya guna telefon milik pembantu rumah," katanya. Awie Mengikut pertuduhan, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana pada 2 Jun tahun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana, Hulu Kelang di sini. Perbicaraan masuk hari ketujuh itu didengar dihadapan Majistret, Ayuni Izzaty Sulaiman. Dalam pada itu, Rozana berkata, dia gagal membayar kembali wang milik suaminya dalam masa dua minggu seperti dijanjikan kerana tidak dapat menjual barangan mewah (sepeti beg berjenama) miliknya. Ini kerana kata Rozana, selepas kejadian dibelasah itu, Awie telah mengambil semua barangan tersebut sebelum sempat dia menjualnya. "Benar saya gagal bayar dalam masa dijanjikan kerana OKT telah mengambil semua barangan tersebut dan bagaimana saya hendak jual dan dapatkan hasil? "Saya juga berjanji untuk bayar kerana takut dengannya biarpun ketika itu saya tiada wang sebanyak itu," jelasnya. Sementara itu, Rozana berkata, wang sebanyak RM250,000 yang didakwa lesap sebenarnya adalah pinjaman daripada Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan hanya boleh dikeluarkan selepas tamat tempoh matang pada 2016. Rozana juga tidak bersetuju wang dalam akaun berkenaan adalah untuk kegunaan peribadinya sebaliknya adalah perbelanjaan keluarga. "Awie tahu semua perbelanjaan yang digunakan malah ia turut digunakan untuk membayar sewa bulanan kelab miliknya di Ipoh," ujarnya. Perbicaraan disambung pada 13 Julai depan. Pendakwaan terhadap Awie dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.