suria

Raja Farah Terkilan Dituduh Gagal Beri Zuriat Punca Cerai

Raja Farah
PETALING JAYA: Pelakon Raja Farah terkilan apabila segelintir pihak masih menyalahkan dirinya dengan menganggap ketiadaan anak sebagai punca perpisahan dia dengan bekas suami iaitu Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, 30, pada 25 Mei lalu.

Raja Farah atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz, 27, berkata, perkara tersebut bukan punca sebenar kegagalan hubungan mereka, sebaliknya keputusan perceraian dibuat selepas tiada lagi persefahaman.

"Saya sedih bila baca komen di blog-blog hiburan terdapat segelintir masyarakat masih menyalahkan saya dalam perpisahan ini dengan mereka melemparkan kata-kata yang saya tidak mampu beri anak.

"Sebenarnya itu semua bukan sebab kami berpisah, namun saya tidak boleh dedahkannya kerana menghormati arahan mahkamah syariah. Apa yang boleh saya beritahu ialah kami tiada persefahaman lagi," ujarnya kepada mStar Online.

Raja Farah Raja Aziz, 27,  bercerai talak satu dengan Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, 30, selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

Pasangan itu bercerai dalam prosiding tertutup di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 25 Mei 2015.

Dalam pada itu, Raja Farah berkata, permasalahan rumah tangganya bermula pada tahun ketiga perkahwinan apabila mereka mengambil keputusan untuk tinggal berjauhan.

"Pada tahun pertama dan kedua tiada masalah sehinggalah apabila kami mula berjauhan. Dari situ, satu persatu masalah timbul.

"Mungkin betul juga kata orang kami berkahwin pada usia yang terlalu muda dan ketika itu masih belum matang," ujarnya.

Saat bahagia Raja Farah dan Megat Bashirun.

Dalam pada itu, Raja Farah mengakui keluarga mertuanya masih belum boleh menerima perpisahan yang berlaku.

Bagaimanapun dia tetap menganggap mereka sebagai ahli keluarga sehingga akhir hayatnya.

"Hubungan dengan keluarga mertua agak dingin, mungkin mereka perlu masa untuk terima perpisahan ini. Namun saya tetap anggap mereka seperti ibu bapa saya sendiri. Kalau ada kelapangan saya mungkin akan menziarahi mereka," katanya.

Sementara itu, Raja Farah turut mengakui lima tahun dalam hubungan rumah tangga memberikan dia banyak pengajaran yang berguna untuk kehidupan akan datang.

Tambahnya, buat masa ini, dia masih trauma dan lebih berhati-hati untuk mengenali seseorang lelaki.

"Banyak perkara yang saya belajar tentang lelaki dan kualiti seorang lelaki untuk dijadikan suami. Saya masih muda dan tidak menolak untuk kembali berumah tangga semula selain mahukan cahaya mata sendiri," ujarnya.

Raja Farah dan Megat bernikah pada 12 November 2010 di Bukit Jelutong, dekat sini.

Raja Farah

Artikel Lain