suria

Atikah Suhaime Minta Keluarga Sedia Dengan Gosip

Atikah sudah berpesan kepada keluarganya supaya bersedia dengan sebarang gosip yang bakal melanda dirinya. Foto SHAARI CHE MAT/The Star
PETALING JAYA: Pelakon Atikah Suhaime sudah memaklumkan kepada keluarganya di Singapura supaya bersedia dengan sebarang berita kurang enak mengenainya ketika mengambil keputusan bergelar artis.

Atikah, 24, berkata, dia memberi penekanan itu kerana mahu mereka memahami risiko bergelar artis yang sering dilanda gosip dan kontroversi.

"Sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur saya pesan kepada keluarga agar bersedia dengan sebarang kemungkinan tentang gosip atau kontroversi yang bakal melanda diri saya.

"Saya tidak mahu mereka berfikir bukan-bukan atau terus percaya dengan apa yang mereka baca kerana itu adalah harga apabila menjadi selebriti," katanya kepada mStar Online.

Atikah berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu kononnya dia sering berkunjung ke rumah teman lelakinya yang terletak di Cyberjaya dekat sini.

Dalam pada itu, Atikah berkata, dia enggan mengulas mengenai gosip berkenaan kerana bimbang kenyataannya akan di salah ertikan sehingga menimbulkan salah faham lain selepas ini.

Atikah enggan mengulas mengenai dakwaan dia sering ke rumah teman lelakinya di Cyberjaya.


Kata Atikah, sebagai seorang manusia biasa dia tidak dapat mengawal orang lain daripada terus bercakap mengenai dirinya biarpun berusaha mempertahankan diri dan atas dasar itu juga dia memilih untuk berdiam diri.

"Lebih baik diam daripada terus bersuara kerana saya tidak mahu kenyataan itu akan menyebabkan lebih banyak salah faham pada masa hadapan.

"Gosip berkenaan juga tidak menggangu saya atau perjalanan karier seni saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Atikah berkata, dia teruja apabila diberi peluang untuk menyanyikan lagu tema filem Suamiku Jatuh Dari Langit yang turut menampilkannya sebagai pelakon.

"Ia pada awalnya sekadar untuk mencuba sahaja tetapi kini saya bertambah yakin untuk melebarkan karier dalam bidang nyanyian pula selepas ini," katanya yang berlakon disampung Qi Razali dan Nora Danish dalam filem terbitan Meltrowealth (MIG) itu.
Atikah Suhaime.

Artikel Lain