PETALING JAYA: Pelakon Fizz Fairuz tidak merancang untuk meletakkan anaknya Nur Afrina Arriana yang kini berusia enam bulan bawah jagaan mana-mana pusat asuhan atau pengasuh persendirian. Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainil Abidin, 36, berkata, perkara itu disebabkan perasaan bimbang apabila sering mendengar berita tentang penderaan kanak-kanak yang sering disiarkan media massa. "Saya tidak percaya kepada pengasuh lepas dengar macam-macam berita tentang penderaan bayi dan tak sanggup kalau perkara itu berlaku kepada anak kami. Lagi pula sekarang isteri saya masih bercuti berlakon, jadi dia boleh beri perhatian kepada anak," katanya kepada mStar Online. Fizz bersama isterinya Almy Nadia dan anak mereka Nur Afrina Arriana. Dalam pada itu, berkongsi perasaan menyambut Hari Raya pertama bersama anak mereka, Fizz berkata, persiapan raya lebih tertumpu kepada anak sahaja. Jelas Fizz, biarpun begitu, dia lebih berjimat dan tidak mahu terlalu boros dengan perbelanjaan Hari Raya ini. "Tahun ini kami beraya bertiga memang seronok, persiapan lebih kepada anak, Almy pun dia beli apa yang perlu sahaja. "Maklumlah apabila sudah bertiga ini, saya perlu bijak berbelanja dan buat persiapan yang perlu sahaja," ujarnya. KLIK VIDEO: "Paling Seronok Raya Di Kampung Saya" - Fizz Fairuz Tambah Fizz, dia akan beraya di kampung halamannya dahulu iaitu di Pahang sebelum beraya di kampung Almy di Pulau Pinang. “Tahun ini saya akan beraya di kampung saya dahulu di Pahang, kemudian pada raya ketiga barulah pulang ke kampung Almy pula. Balik sana sekejap sahaja kerana saya mula penggambaran pada 23 Julai untuk filem Hantu Rumah Sakit Jiwa,” ujarnya. Fizz dan Almy bernikah pada 26 April tahun lalu dan menerima cahaya mata Nur Afrina Arriana pada 17 Februari lalu.