suria

Erwin Dawson Mahu Hijrah Ke Malaysia Kerana Islam

Erwin Dawson mahu mendapatkan taraf Pemastautin Tetap (PR) di negara ini.

PETALING JAYA: Pelakon baru yang berasal dari Singapura, Erwin Dawson berhasrat untuk berhijrah ke Malaysia selain mahu mendapatkan taraf Pemastautin Tetap (PR) di negara ini apabila layak kelak.

Pemilik nama sebenar Mohamed Erwin Shah Evan Dawson, 26, itu berkata, dia tertarik untuk menetap di Malaysia kerana berasa lebih bebas untuk mengamalkan ajaran Islam berbanding di negara asalnya.

"Sejak beberapa bulan tinggal di negara ini saya tertarik dengan komuniti Islam di Malaysia yang berbeza daripada negara asal saya.

"Sebagai seorang Muslim saya ingin berada dalam komuniti yang membolehkan saya mengamalkan agama saya tanpa sebarang sekatan dan itu adalah faktor utama mengapa saya ingin memohon menjadi rakyat negara ini," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kata Erwin dia sedar bukan mudah untuk mendapatkan PR dan perlu tinggal di negara ini sekurang-kurangnya lima tahun sebelum membuat permohonan tersebut.

Erwin memberitahu dia tinggal di negara ini sejak November tahun lalu.

Erwin semakin selesa bergelar pelakon di Malaysia.

Dalam pada itu, jejaka kacukan Melayu Singapura dan New Zealand ini berkata, keluarganya juga tidak menghalang dengan keputusannya itu memandangkan jarak kedua-dua buah negara tidak jauh.

"Jika diikutkan sejarah bapa kepada ibu saya berasal dari Perak tetapi saya tidak pernah ke sana kerana semua ahli keluarga telah berpindah ke Singapura jadi bukan sesuatu yang pelik apabila saya ingin berhijrah ke Malaysia.

"Mungkin ada saudara-mara jauh yang masih tinggal di sini tetapi tidak pernah mengenali atau berjumpa dengan mereka," katanya.

Sementara itu, Erwin berkata, dia ingin meneruskan karier lakonannya di Malaysia selepas melihat peluang untuknya mengembangkan kerjayanya sangat besar.

"Alhamdulillah setakat ini saya gembira dengan perkembangan kerjaya saya di Malaysia dan kepercayaan pihak produksi memberikan tawaran juga cukup baik.

Bagaimanapun kata Erwin, dia berharap dapat membeli sebuah kereta dalam masa terdekat bagi memudahkan dia berulang-alik ke lokasi penggambaran memandangkan ketika ini terpaksa berharap kepada krew produksi.

Erwin Dawson.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain