PETALING JAYA: Pelakon baru yang berasal dari Singapura, Erwin Dawson menjelaskan kenyataan balas secara terbuka di laman sosial Instagram kepada Aaron Aziz baru-baru ini bukan kerana dia tidak boleh menerima nasihat daripada aktor senegaranya. Erwin atau nama sebenarnya, Mohamed Erwin Shah Evan Dawson, 26, sebaliknya berkata, ia dibuat berdasarkan perasaan prihatin tanpa sebarang niat tidak baik terhadap Aaron. "Kenyataan balas saya kepada Abang Aaron adalah hanya kerana perasaan prihatin dan saya sedia menerima nasihat terutamanya dari seseorang berpengalaman sepertinya. "Dengan apa yang telah terjadi saya sedar ada caranya untuk mendapatkan penjelasan dan saya hanya mempunyai perasaan hormat untuk Abang Aaron," katanya kepada mStar Online menerusi Whatsapp pada Khamis. Terdahulu nama Erwin menjadi perhatian selepas Aaron menegur kenyataan pelakon tersebut menerusi artikel yang dikeluarkan mStar Online pada 20 Julai lalu bertajuk 'Erwin Dawson Mahu Hijrah Ke Malaysia Kerana Islam' yang dianggap kurang matang dan mendatangkan persepsi negatif terhadap umat Islam di Singapura. Aaron Aziz. Kenyataan Aaron itu kemudiannya dibalas Erwin dan mendapat perhatian peminat kedua-dua pelakon itu sebelum mereka bertindak memadamnya. Dalam pada itu, Erwin berkata, kejadian tersebut telah menyedarkannya untuk lebih berhati-hati dalam memberikan sebarang kenyataan kerana ia boleh mendatangkan salah faham biarpun dia tidak berniat sedemikian. Malah kata Erwin, dia tidak pernah sesekali berniat untuk bersikap tidak bertimbang rasa terutama masyarakat Islam di negaranya. "Kadangkala, perkara kecil boleh jadi besar dan dalam keadaan sekarang, saya sedar ada perkara yang saya sebut atau buat boleh mendatangkan salah faham. "Saya tiada niat untuk tidak bertimbang rasa, terutamanya kepada mereka yang saya hormat dan juga kepada komuniti di keliling saya dan di negara saya yang tersayang," katanya. Inilah kenyataan Aaron Aziz di Instagram. Bagaimanapun status mereka telah dipadamkan selepas mendapat reaksi pelbagai daripada peminat masing-masing. Bagaimanapun kata Erwin, dia bersyukur keluarga, rakan-rakan termasuk peminat banyak memberi sokongan kepadanya untuk terus kuat menghadapi isu berkenaan. "Melihat apa yang terjadi, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada saya, kerana tanpa itu, saya takkan dapat berada di sini," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Erwin yang baharu sahaja kembali ke ibu negara selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri di Singapura sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Jodoh Sebelah Pintu arahan Michael Ang.