suria

Anjing Dipegang Hasnul Rahmat Patung Batu

Hasnul Rahmat
PETALING JAYA: Ketika Hasnul Rahmat dikritik selepas tersebarnya gambar dia memegang dua ekor anjing, pelakon itu akhirnya membuat pengakuan haiwan dalam gambar berkenaan hanyalah sekadar patung batu.

Hasnul berkata, dia seorang yang takutkan anjing dan tidak mungkin boleh bergambar dengan hawian itu yang hidup.

"Dua ekor anjing itu sebenarnya adalah patung yang diperbuat daripada batu. Awak ingat saya tak takut anjing? Awak ingat saya boleh duduk dan belai anjing (hidup) seperti dalam foto tersebut?

"Hahaha... nampak real kan foto yang saya rakamkan itu? Foto itu sebenarnya tidak ada apa-apa pun," jelasnya kepada mStar Online pada Isnin.|

Hasnul yang ditemui pada majlis pratonton filem CCTV di e@Curve di sini diminta mengulas mengenai foto yang dimuat naik di Instagram yang menunjukkan dia duduk sambil membelai dua ekor anjing.

Foto Hasnul bersama anjing yang dimuat naik di Instagramnya. Foto ini telah dipadamkan. Hasnul berkata, anjing berkenaan adalah patung batu.
Bagaimanapun, pelakon filem Tanda Putera itu telah memadamkan foto berkenaan selepas dirinya dikritik dan isu berkenaan menjadi bualan ramai.

Selain gambar anjing itu, Hasnul turut dikritik kerana tindakannya memuat naik foto memegang patung Jesus dengan meletakkan kapsyen lawak.

Sementara itu, kata Hasnul, dia tidak sangka foto tersebut menjadi isu besar, lebih-lebih lagi ia telah dimuat naik pada dua minggu lalu.

"Pegang arnab ke, kucing atau anjing, sebagai Muslim, kita kan ada batasan, ada cara-cara untuk membersihkan diri.

"Apa-apapun, saya menganggap pemberi komen itu sedang melalui proses peningkatan umur yang cuba memahami keadaan sekeliling. Saya tidak kisah pun mereka kritik saya.

"Saya maafkan mereka dan pada masa sama juga meminta maaf sekiranya telah mengecilkan hati orang di luar sana. Bagi saya, isu berbangkit ini kecil sahaja. Pelakon kanak-kanak, Puteri Balqis lagi teruk dihentam gara-gara isu bikini. Hal saya, perkara kecil sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Hasnul menegaskan kontroversi yang timbul tiada kaitan dengan strategi untuk melariskan filem lakonan terbaharunya berjudul CCTV.

"Saya sudah dibayar untuk berlakon dalam filem itu. Saya bukannya penerbit yang mahu memikirkan cara untuk melariskan filem.

"Tak ada maknanya nak timbulkan kontroversi. Tetapi saya harap, lakonan saya sebagai doktor psiko dalam CCTV tidak pula dijadikan isu seterusnya," seloroh Hasnul.
Hasnul Rahmat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain