KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Harris Alif bakal melancarkan jenama pakaiannya sendiri iaitu Harris Alif by Cemboja sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2015 (MFKL 2015) yang bakal diadakan di Pavillion di sini bulan hadapan. Harris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi, 16, berkata, pada acara itu nanti dia akan memperkenalkan empat rekaan pakaian untuk lelaki dan wanita. "Saya teruja dengan Minggu Fesyen Kuala Lumpur tahun ini kerana diberi peluang untuk memperkenalkan rekaan saya sendiri dengan kerjasama dari Cemboja. "Alhamdulillah minat dalam fesyen dapat saya zahirkan menerusi empat rekaan dan berharap ia dapat diterima baik," katanya kepada mStar Online. Harris ditemui pada sidang media pelancaran program Misi Mr X: Lari yang diadakan di Quill City Mall di sini, Rabu. Ia bakal menemui penonton pada setiap Khamis, pukul 9.30 malam di TV9. Dalam pada itu, Harris berkata, biarpun baharu berusia 16 tahun namun dia tidak melihat perkara itu sebagai satu halangan untuknya menceburi bidang fesyen. Harris A;lif (kanan) bersama barisan pelakon Misi Mr X: Lari. Dia juga serius untuk mendalami dunia fesyen dan berharap dapat menghasilkan lebih banyak rekaan pada masa hadapan. "Usia bukan halangan kerana paling penting adalah minat dan keinginan untuk berjaya dalam melakukan sesuatu. "Saya bersyukur kerana percubaan pertama ini mendapat banyak sokongan dan tunjuk ajar daripada Cemboja sehingga terlahirnya empat rekaan tersebut," ujarnya. Tambahnya lagi, rekaan dihasilkan menampilkan gaya urban dan sofisikated selain memfokuskan kepada golongan berusia dari 15 hingga 30 tahun. "Saya sangat mengagumi pereka fesyen terkenal iaitu Bon Zainal yang menampilkan ciri-ciri mewah dan elegan dalam hasil rekaannya. "Rekaan yang saya hasilkan tidak hanya bertumpu kepada remaja seusia saya tetapi ia turut boleh digayakan oleh golongan dewasa," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Harris berkata, walaupun kini sibuk dengan persiapan MFKL 2015 namun masih memberi fokus kepada lakonan dan nyanyian. "Saya masih berlakon dan menyanyi cuma saya ingin mengembangkan lagi karier sebagai jaminan masa hadapan," katanya. Bercakap mengenai program Misi Mr X: Lari, Harris berkata, permainan ejen perisikan itu cukup mencabar staminanya dalam menyelesaikan tugas diberikan. Selain itu, ia turut memerlukan kesabaran tinggi namun dia cukup seronok dapat bersama-sama menjayakan program 26 episod itu. "Setiap minggu kami sebagai perisik akan dapat tugasan daripada Mr X dan cuba menyelesaikan tugas diberikan biarpun mencabar. "Bagaimanapun ia cukup menyeronokkan dalam melatih untuk berfikir secara pantas dan bersabar dalam mengharungi cabaran diberikan," jelasnya. Selain Harris, lima lagi selebriti bertindak sebagai perisik adalah Azwan Ali, Achok dari kumpulan Chilok, Arja Lee, Aisya Hasnaa dan Afieq Shazwan. Ia turut menampilkan 10 'Krew Revive' yang dipilih menerusi pertandingan 'Misi Mencari Krew Revive pada 1 Mei lalu.