suria

Hampir Setahun Muncul Semula, Mana Album Baru Amelina?

Amelina tidak tertekan apabila sering ditanya mengenai kemunculan album terbaharunya.

PETALING JAYA: Penyanyi Amelina tidak tertekan apabila sering diasak dengan pertanyaan daripada peminat berhubung album terbaharunya selepas hampir setahun membuat kemunculan semula dalam bidang muzik.

Amelina atau nama sebenarnya, Nurazlina Amir Sharifuddin, 40, berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusannya iaitu Wake The Baby kerana mereka mempunyai strategi tertentu dalam memberikan produk terbaik kepada peminat.

"Memang ramai peminat tanya bila nak lancarkan album terbaharu tetapi saya tidak tertekan dengan perkara itu kerana ingin memberikan yang terbaik selepas 15 tahun tidak tampil dengan buah tangan baharu.

"Saya meletakkan kepercayaan kepada pihak pengurusan kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk saya dan setakat ini semuanya berjalan lancar," ujarnya.

Dalam pada itu, Amelina berkata, dia sebenarnya sudah pun tampil dengan single pertamanya berjudul Cinta Harus Seksi pada Jun lalu hasil ciptaan komposer Ajai.

Bagaimanapun katanya, promosi lagu berkenaan agak perlahan bagi menghormati bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

"Insya-Allah selepas Hari Raya saya akan mempromosikan lagu tersebut dengan lebih giat lagi seperti di stesen radio, program televisyen selain persembahan pentas dan setakat ini respon diberikan peminat yang telah mendengarnya sangat baik," jelasnya.

Sementara itu, Amelina berkata, biarpun belum ada produk baharu namun undangan persembahan pentas tidak putus-putus sejak dia kembali ke arena muzik.

Malah katanya, purata dalam seminggu dia akan mendapat tiga ke empat tempahan nyanyian dan menganggap ia permulaan baik untuknya.

"Alhamdulillah setakat ini rezeki untuk mengadakan persembahan masih ada dan rata-rata mahu saya menyanyikan lagu-lagu hitnya bagi mengimbau kenangan," katanya.

Amelina, Cinta Harus Seksi.

Artikel Lain