PETALING JAYA: Pelakon Sara Ali hanya akan memikirkan soal perkahwinan selepas mencapai cita-citanya dalam lakonan iaitu bergelar seorang pengarah. Sara atau nama sebenarnya, Siti Sarah Hairi Ali, 25, berkata, dia kini sedang berusaha untuk melaksanakan impian tersebut sebelum penghujung tahun ini. "Saya belum fikir soal kahwin lagi setakat ini, Insya-Allah selepas cita-cita saya untuk jadi pengarah tercapai barulah saya fikir soal itu. "Buat masa ini saya sedang cari idea dan bina keyakinan untuk terjun ke bidang pengarahan. Saya sudah bersedia cuma sedang mencari masa yang sesuai sahaja untuk mulakan projek pengarahan itu, mungkin juga sebelum hujung tahun ini," ujarnya kepada mStar Online. Pada Februari lalu, Sara mengakui menjalinkan hubungan cinta dengan seorang ahli perniagaan muda bernama John Shaqeel, 22. Dalam perkembangan lain, Sara berkata dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon kerana mengambil keputusan untuk berehat selama tiga bulan daripada sebarang penggambaran drama atau filem. Sara kini berehat tiga bulan. Bagaimanapun, ketika ditanya adakah tempoh masa tiga bulan tersebut digunakan untuk membuat sebarang persiapan majlis tertentu yang melibatkan hubungan cinta, Sara menafikan perkara itu dan menganggap ia adalah masa diluangkan bersama keluarga. "Tahun lalu jadual saya terlalu padat dan tiada masa untuk diri sendiri dan keluarga, jadi saya ambil keputusan untuk bercuti tiga bulan sejak sebelum raya, namun ia tiada kena mengena dengan apa-apa persiapan bertunang atau berkahwin. "Tiga bulan itu masa saya untuk cari idea dan baca buku, lagi pun saya tidak mahu berlakon dalam keadaan yang tidak cukup rehat dan tekanan," ujarnya. Dalam pada itu, Sara berkata, sebagai pelakon dia lebih mengutamakan soal kualiti berbanding kuantiti drama yang dilakonkannya. Dia juga tidak meletakkan pendapatan sebagai subjek utama sejak memilih bidang lakonan sebagai kerjaya. "Saya seorang yang sangat mementingkan kualiti berbanding kualiti, saya tidak mengambil tawaran kerana memikirkan soal duit semata-mata. "Kalau saya fikir untuk jadi kaya lebih baik saya jadi arkitek seperti mana yang saya belajar dulu," ujar Sara yang mempunyai ijazah dalam bidang Seni Bina dari Universiti Lim Kok Wing. Sementara itu, Sara yang turut dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Kami Histeria dalam Festival Filem Malaysia ke-27 berbangga apabila kali kedua dipilih dalam kategori tersebut. "Saya terkejut apabila diberitahu tercalon dalam kategori itu tapi saya tidak meletakkan harapan yang tinggi sebaliknya bersyukur dapat memberi persaingan kepada empat calon lain," ujarnya.