suria

Hazami Dalam Keadaan Lemah Akibat Pendarahan Usus

Azhary (kiri) berharap agar semua pihak dapat mendoakan adiknya, Hazami.
PETALING JAYA: Penyanyi Hazami berada dalam keadaan lemah selepas dikejarkan ke hospital pada malam Khamis akibat menghidap pendarahan dalam usus.

Abangnya, Azhary Ahmad, 43, berkata, Hazami pada mulanya mengadu sakit perut kira-kira pukul 11 malam dan meminta seorang rakan membawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

"Semasa tiba di klinik, dia tiba-tiba pengsan dan keluar darah dari bahagian ususnya menyebabkan doktor meminta ia dirujuk ke hospital,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Jumaat.

Azhary berkata, selepas dihantar ke Pusat Perubatan Tropicana Damansara di sini, doktor mengesahkan Hazami mengalami komplikasi pada bahagian usus yang agak serius dan perlu menjalani pembedahan.

Hazami

Katanya, penyakit tersebut boleh menjadi kanser jika tidak diubati dengan segera.

"Dia berada dalam keadaan yang sangat lemah. Doktor masih belum pasti bilakah pembedahan itu dapat dilakukan. Ia bergantung kepada keadaan Hazami," ujarnya.

Menurut Azhary lagi, buat masa ini Hazami dipantau di satu unit khas pusat perubatan itu dan tiada sesiapa dibenarkan melawat melainkan ahli keluarga terdekat sahaja.

Sehubungan itu dia berharap agar para peminat dapat mendoakan kesihatan adiknya agar kembali sembuh seperti biasa.

Hazami atau nama sebenarnya Norkamal Hazami Ahmad, 40, popular dengan lagu Sonata Musim Salju.

Beliau adalah pemegang Ijazah Kejuruteraan Reka Cipta dari Universiti Brunel, London.
Hazami

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan