suria

Pelakon Aksi Cameron Ambrige Cari 'Stuntman' Malaysia

Cameron Ambridge
PETALING JAYA: Pelakon aksi ngeri dari Australia yang pernah membintangi Pirates Of The Caribbean iaitu Cameron Ambrige mencari rakyat negara ini untuk dilatih menjadi pelakon aksi di Taman Tema Animasi Movie Animation Park Studio (MAPS).

Taman tema di Bandar Meru Raya, Perak itu akan dibuka kepada umum pada pertengahan 2016.

Penerbit persembahan yang juga bekas pelakon lagak ngeri, Mark Eady berkata, peluang pekerjaan tersebut dibuka kepada golongan belia yang berani untuk melakukan aktiviti lasak dan secara tidak langsung menjadi pelakon lagak ngeri di pusat permainan bertaraf antarabangsa itu.

"Kami membuka peluang kepada golongan belia iaitu berumur 17 hingga pertengahan 30 tahun yang berminat untuk menjadi pelakon dan bekerja secara tetap ataupun sambilan di taman tema berkenaan.

"Tarikan utama di taman tema ini adalah studio dan lakonan aksi ngeri. Pada asalnya saya rancang untuk mengambil pelakon berpengalaman dari Amerika Syarikat dan Australia.

”Akhirnya kami buat keputusan untuk buka peluang pekerjaan ini kepada rakyat tempatan yang berminat dan mempunyai komitmen tinggi untuk bekerja," ujarnya kepada mStar Online di Menara Star, di sini, Isnin.

Mark Eady turut menjadi tenaga pengajar di Akademi Stunt Legends

MAPS merupakan usahasama antara Perak Corp Berhad dan Sanderson Group yang menyediakan pelbagai konsep zon animasi merangkumi Animation Square, Fantasy Forest, Live Action, Blast Off, DreamWorks dan Lakeside Zone.

Tambah Mark, pihaknya akan membuka penyertaan bermula 12 September ini yang boleh diisi menerusi laman web www.mapsperak.com

Berdasarkan permohonan menerusi laman web itu, pihaknya akan memilih 50 calon terbaik untuk menyertai latihan di akademi tersebut selama tiga bulan secara percuma.

Katanya, calon terpilih akan ditapis menerusi pelbagai sesi latihan termasuklah ketahanan mental sebelum 20 peserta akhir yang lulus ujian dipilih untuk bekerja.

"Pada bulan September ini kami akan membuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk mencuba nasib dan mereka semua akan dihubungi bagi melalui beberapa tapisan.

"50 peserta tersebut akan menyertai Akademi Stunt Legends di Perak secara percuma dari September hingga Disember. Manakala 20 peserta terbaik akan diserap untuk bekerja di MAPS," ujarnya.

Tambahnya, menerusi latihan selama tiga bulan itu para peserta akan diajar kaedah lakonan aksi yang sebenar disamping mengutamakan ciri-ciri keselamatan.

MAPS sedang dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 10 hektar daripada 20.8 hektar yang menawarkan hampir 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Stuntman Mark Eady

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain