suria

Aziz M Osman Bakal Terbitkan Sekual 'XX Ray 3'

Aziz sedang dalam proses pra produksi untuk menghasilkan filem XX-Ray 3.
PETALING JAYA: Pengarah Aziz M. Osman bakal menghasilkan sekual filem XX-Ray 3 selepas ia mendapat permintaan ramai.

Aziz, 52, bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum mempunyai jangka masa tertentu untuk menyiapkan filem berkenaan kerana ia masih dalam peringkat pra-produksi.

"Sebenarnya sejak tamatnya XX-Ray 2 yang ditayangkan pada 1995 saya sudah diminta untuk menghasilkan sekual terbaharu karya tersebut.

"Bagaimanapun sebagai seorang pengarah saya tidak boleh terburu-buru kerana banyak aspek perlu diberi perhatian menerusi genre Sci-fi," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Menara Star di sini, Isnin.

Aziz berkata, dia mengambil masa selama 20 tahun sebelum mengambil keputusan untuk menulis sekual terbaharu filem berkenaan kerana ingin memastikan plot dan jalan cerita ditampilkan segar dan tidak ketinggalan zaman.

"Selepas dua siri XX-Ray saya tidak boleh mengulang formula sama tambahan pula semakin banyak karya dari genre serupa yang mungkin akan ada persamaan dan ia akan dipertikaikan.

"Bagaimanapun selepas 20 tahun saya sudah jumpa formula terbaik untuk memastikan XX-Ray 3 segar dan istimewa," ujarnya.

Aziz bersama anak bongsunya, Puteri Nur Azahhra atau Aara.

Sementara itu, Aziz melihat perubahan teknologi dalam industri perfileman memberikan tambah nilai kepadanya berbanding 20 tahun lalu dalam menghasilkan filem berkenaan.

Kata Aziz, kepakaran anak tempatan termasuk dalam bidang teknik janaan imej berkomputer (GCI) akan memudahkannya untuk lebih kreatif dalam karyanya.

"20 tahun dahulu ia sukar sehingga saya terpaksa menggunakan khidmat pakar di Hong Kong untuk kesan khas dan ia memakan kos yang besar.

"Namun pada hari ini kepakaran anak tempatan memungkinkan segalanya dan imaginasi yang ada boleh direalisasikan," jelasnya.

Tambah Aziz, biarpun teknologi dapat membantunya dalam penghasilan sebuah filem Sci-fi namun dia amat menitikberatkan jalan cerita ingin dipaparkan kepada penonton.

"Jika CGI hebat tetapi ia 'kosong' dan tiada jalan cerita yang kuat tidak guna juga sebab itu saya ambil masa lama kerana ingin memastikan asas sekual itu nanti kuat," katanya.

Aziz M Osman, XX-Ray 3.

Artikel Lain