KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia Afgan Syah tidak pernah meletakkan dirinya setaraf dengan penyanyi-penyanyi terkenal selepas harga tiket untuk konsertnya Suara Hati Afgan pada 18 September depan dijual agak tinggi. Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 26, berkata dia juga tidak mengetahui harga tiket yang dikenakan dalam konsert tersebut kerana ia adalah urusan pihak penganjur. "Saya tidak pernah meletakkan diri saya setaraf dengan artis-artis ternama yang sudah popular di Malaysia seperti Kris Dayanti dan Rossa. Sejujurnya saya tidak tahu tentang harga tiket kerana ia adalah urusan penganjur. "Saya hanya fokus untuk memberikan persembahan yang terbaik dan berbaloi dengan harga tiket yang akan dibayar oleh penonton," ujarnya kepada mStar Onlinepada sidang media konsert berkenaan di E & O Residences, di sini, Rabu. Konsert tersebut bakal berlangsung pada 18 September depan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Tiket menyaksikan persembahannya dijual dari RM133 sehingga RM855. Afgan Afgan berkata demikian ketika diminta mengulas pertanyaan tentang harga tiket yang agak mahal untuk konsertnya. Katanya, harga tiket tersebut sama dengan harga pada konsert sulungnya yang berlangsung di Indonesia pada Februari lalu berjudul Dari Hati Afgan. "Saya tidak tahu kadar harga di negara ini, namun pada konsert saya yang lalu juga harga tiket tertinggi lebih kurang sama sekitar RM800 dan Alhamdulillah semuanya habis dijual," ujarnya. Dalam pada itu, Afgan berjanji untuk memberikan persembahan bertenaga yang tidak mengecewakan peminat. "Jangan risau kerana saya akan sedaya upaya membuat penonton menikmati keseluruhan konsert benar-benar dari hati. "Pada malam itu juga saya akan membawakan 23 buah lagu termasuk beberapa lagu yang dipopularkan penyanyi Malaysia. Selain itu akan ada juga beberapa kejutan kepada penonton," ujarnya. Konsert tersebut turut menampilkan penyanyi undangan iaitu Datuk Rossa yang akan mendendangkan sebuah lagu duet mereka berjudul Kamu Yang Ku Tunggu. Sementara itu, ditanya tentang populariti yang dikecapinya di negara ini, Afgan berkata, dia mengakui perkembangan positif apabila semakin dikenali menerusi lagu-lagunya yang popular di negara ini. "Alhamdulillah, saya lihat rakyat negara ini kenal saya menerusi lagu-lagu saya dan sedikit-sedikit ada peminat di sini. "Selain itu, saya juga antara artis bertuah kerana sering diundang untuk membuat persembahan di Malaysia," katanya. Sementara itu, Pengarah Urusan Netzah Production, Shirazdeen Karim berkata, harga yang ditetapkan untuk konsert tersebut adalah berdasarkan pencapaian penyanyi itu Indonesia dan Malaysia. "Harga tiket adalah bersesuaian dengan nama Afgan dan kita juga menawarkan beberapa harga lain, cuma yang mahal untuk tiket yang dapat bertemu dan beramah mesra dengan Afgan selepas konsert. "Sekarang tiket sudah 50 peratus terjual dan tiket yang laris ialah tiket paling mahal," katanya. Selain RM133 dan RM855 tiiket turut dijual pada RM483, RM377, RM272 dan RM165. Ia boleh dibeli dengan melayari www.myticket.asia