PETALING JAYA: Pelakon Anzalna Nasir mendedahkan dia terpaksa menolak pelbagai tawaran lakonan semata-mata mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap drama telenovela berjudul Memori Cinta Suraya. Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md. Nasir, 27, berkata, memandangkan ia diterbitkan sebanyak 137 episod, dia perlu memberi tumpuan terhadap drama arahan Feroz Kader itu agar tidak keliru dengan wataknya sebagai Suraya. "Watak Suraya sangat mencabar dan saya perlu menjiwainya selama setahun. Saya perlu memastikan emosi dan kesinambungan watak selari. Jika saya mengambil tawaran lakonan lain, emosi saya dalam lakonan pasti akan serabut. "Tambah pula saya perlu mengkaji watak dengan meneliti skrip bagi menjiwainya. "Apatah lagi ia adalah drama adaptasi telenovela Mexico, A Love To Remember, saya meminta untuk diberikan cakera video digital (DVD) telenovela asal agar dapat melihat karakter utamanya," katanya. Drama bersiri 148 episod itu menggandingkan kerjasama tiga pihak iaitu syarikat Azteca, salah satu pengeluar rancangan televisyen Bahasa Sepanyol terbesar di dunia bersama Astro dan Global Station. Selain Anzalna, Memori Cinta Suraya turut dibintangi Hisyam Hamid, Afiq Muiz, Liza Abdullah, Miera Liyana, Iqram Dinzly, Zila Bakarin dan ramai lagi. Sementara itu, Anzalna berkata, dia antara pelakon yang bertuah kerana dapat melibatkan diri dalam drama bersiri berkenaan memandangkan ia bakal disiarkan di beberapa buah negara. "Difahamkan, beberapa negara telah membeli drama ini untuk disiarkan di negara masing-masing. "Ini memberi peluang buat saya untuk orang luar melihat bakat lakonan saya dan rakan-rakan artis lain yang terlibat. Mana tahu, jika kami ada rezeki bukan..," ujarnya. Memori Cinta Suraya akan ditayangkan bermula 17 Ogos 2015 pukul 6.30 petang menerusi saluran Astro Bella (133) dan Mustika HD (134).