KUALA LUMPUR: Pelakon Adiba Yunus memberitahu usahanya selama lima tahun bergelar anak seni akhirnya terbayar apabila namanya tercalon menerusi kategori Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27). Adiba atau nama sebenarnya Siti Adibah Mohd Yunus, 27, berkata, biarpun pada mulanya terkejut dengan berita berkenaan namun dia bersyukur lakonannya dalam filem Nasi Tangas mendapat perhatian juri festival berkenaan. "Saya terkejut namun bersyukur dengan pencalonan berkenaan kerana ia merupak filem lakonan pertama saya memegang watak utama. "Akhirnya usaha saya selama lima tahun bergelar berlakon mula membuahkan hasil dan besar ertinya pencalonan tersebut kepada diri saya," katanya kepada mStar Online. Kemuncak FFM-27 bakal diadakan pada 5 September depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pukul 8.30 malam. Ia akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan siaran tertunda menerusi RTM. Malam Perasmian acara itu akan berlangsung pada 2 September depan di Symphony Lake Suit, pusat konvesyen itu. Empat lagi calon dalam kategori sama adalah Dawn Cheong (Cuak), Aisya Hasnaa (Dollah Superstar), Nad Zainal (Kami Histeria) dan Izara Aisyah (Sejoli). Adibah sudah bergelar pelakon selama lima tahun. Dalam pada itu, Adiba memberitahu walaupun berharap dapat membawa pulang trofi kategori berkenaan namun dia tidak meletakkan sebarang harapan dan menyerahkan ia kepada rezeki. Kata Adiba, mendapat pencalonan lima terbaik sudah besar kepadanya dan ia menjadi pemangkin semangat untuk terus memberikan terbaik selepas ini. "Sesiapa yang tercalon dalam anugerah berprestij seperti FFM pasti inginkan kemenangan termasuk diri saya. Bagaimanapun saya letak perkara itu kepada rezeki. "Sudah tercalon pun adalah rahmat besar untuk saya kerana ini adalah peluang untuk saya terus semangat dalam bidang seni pada masa hadapan," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Adiba berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Kalau Dah Cinta bergandingan dengan Nas-T. Selain itu kata Adiba, dia juga sedang menunggu filem terbaharunya, Badi untuk ditayangkan di pawagam pada 15 Oktober depan.