suria

Finas Tegur Que Haidar Samakan FFM 27 Seperti Anugerah Kanak-Kanak

Que Haidar antara pelakon berbakat yang pernah memenangi banyak anugerah namun kritikannya di Twitter menimbulkan rasa kurang senang pihak Finas.

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menegur pelakon Que Haidar yang menyamakan Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM 27) seperti anugerah kanak-kanak iaitu Kids Choice Awards di Amerika Syarikat gara-gara tidak puas hati filem lakonannya Ophilia tidak dicalonkan.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat dan Pengurusan Strategik Finas, Datuk Fauzi Ayob berkata, Que tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia adalah tidak adil buat agensi itu yang bertungkus lumus menjayakan FFM dalam memartabatkan filem tempatan.

"Pandangan Que menyamakan FFM 27 dengan Anugerah Kids Choice Awards adalah tidak adil namun itu pandangan peribadinya.

"Bagaimanapun tidak sepatutnya dia berkata demikian kerana FFM adalah sebuah acara berprestij dan bukan seperti diperkatakan. Kami di Finas sedaya upaya cuba untuk memartabatkan filem Malaysia," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Fauzi memegang trofi yang bakal dimenangi pada FFM 27 nanti.

Terdahulu, Que menerusi laman Twitter miliknya meluahkan perasaan tidak puas hati apabila Ophilia  tidak tersenarai dalam kategori Cerita Asal dan Kostum Terbaik.

Filem itu hanya dicalonkan untuk Pelakon Lelaki Terbaik yang turut menyenaraikan Que Haidar bagi kategori itu, Pengarah Harapan (Raja Mukriz) dan Pelakon Harapan Lelaki (Kodi Rasheed).

Que juga dalam status sama turut bertanya siapakah barisan juri yang membuat keputusan pemilihan finalis FFM 27 kali ini.

Dalam pada itu, menjawab mengenai proses pengadilan FFM 27, Fauzi yang juga Pengarah FFM 27 berkata, kesemua filem diadili oleh juri profesional dan berkaliber dalam bidang masing-masing.

Kata Fauzi, pertikaian tidak sepatutnya berlaku kerana semua keputusan dibuat secara telus mengikut kriteria ditetapkan.

"Kesemua juri yang dilantik adalah profesional dan berpengalaman. Penilaian juga dibuat berdasarkan kriteria ditetapkan dan bukan secara sewenang-wenangnya.

"Pihak Finas tidak dapat memuaskan hati semua pihak dalam soal ini dan sepatutnya penggiat seni yang gagal menembusi pencalonan lima terbaik menjadikan ia sebagai pemangkin semangat untuk terus menghasilkan karya bermutu pada masa hadapan," tegurnya.

Antara posting yang dimuat naik Que di Twitter.

Sementara itu, Fauzi menegaskan kesemua pencalonan lima finalis FFM 27 tahun ini adalah yang terbaik dan keputusan itu tidak wajar dipertikaikan.

"Filem-filem yang tersenarai kebanyakannya pernah dipertandingkan di festival di luar negara dan ada yang pernah memenangi anugerah peringkat antarabangsa," katanya.

Kemuncak FFM 27 bakal diadakan pada 5 September depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pukul 8.30 malam.

Ia akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan siaran tertunda menerusi RTM.

Malam Perasmian acara itu akan berlangsung pada 2 September depan di Symphony Lake Suit, pusat konvesyen itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain