PETALING JAYA: Bekas pengurus Nad Zainal yang dikenali sebagai Alog Zuren bertegas akan terus mendedahkan sikap buruk dah rahsia aktres tersebut kerana mempunyai banyak bukti. Alog berkata, dia akan berbuat demikian sekiranya Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 25, berterusan memfitnah dan memburukkan namanya kepada umum. "Saya nak tengok sejauh mana dia mahu memburukkan saya. Untuk apa? Saya pun tak pasti. "Tetapi sekiranya dia masih memfitnah dan mencemarkan nama baik saya, saya tidak akan teragak-agak untuk terus mendedahkan sikap buruknya di media sosial," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin. Alog yang menamatkan tugasnya sebagai pengurus dengan Nad sejak 1 Jun lalu bengang apabila aktres itu membuat kenyataan dalam program hiburan Melodi (TV3) pada Ahad kononnya dia telah melarikan sejumlah wang selain menjadi dalang pembubaran kelab peminat pelakon itu. Alog Zuren Perkara itu membuatkan Alog mendedahkan beberapa sikap buruk Nad termasuklah kononnya dia pernah membawa teman lelakinya tidur di rumah sewa yang didiami mereka. Malah Alog turut memuat naik satu video menunjukkan Nad duduk dalam keadaan tidak sopan tanpa mempedulikan anak-anak yatim yang membuat persembahan dalam sebuah majlis yang berlangsung di sebuah rumah anak yatim pada Julai lalu. Dalam pada itu, Alog berkata, dia tidak takut sekiranya pendedahan tersebut membuatkan aktres itu mengambil tindakan mahkamah terhadapnya kerana dia mempunyai bukti yang kukuh. "Apa yang saya dedahkan itu baru suku daripada sikap buruknya itu. Kalau dia nak saman saya silakan. Saya tidak takut kerana saya ada bukti yang sah. "Lagipun saya bukan mahu aibkannya. Dia memburukkan saya dan saya perlu membersihkan nama saya yang sudah tercalar. "Setakat ini, dia adalah artis yang paling teruk pernah saya bekerja. Cukuplah! Saya serik nak bekerja dengan dia lagi. Sudahlah saya selalu dipersalahkan keluarganya setiap kali masalah timbul," ujarnya dengan nada kesal. Sementara itu, Nad yang dihubungi mStar Online enggan mengulas berhubung perkara itu dan menyifatkan apa yang telah berlaku adalah sebahagian daripada adat resam dunia seni hiburan. "Saya menganggap ini resam dunia seni. Saya berharap semuanya akan kembali baik. Semua orang akan bertindak tanpa berfikir apabila sedang marah dan semua pernah buat silap. Saya hanyalah manusia biasa. "Tiada apa yang perlu dipanjangkan. Banyak lagi isu yang lebih serius. Buat apa api nak disimbah api lagi," tuturnya.