suria

FFM 27: Berbaloi Jadi Orang Minyak - Wan Hanafi Su

Wan Hanafi Su


PETALING JAYA: Pelakon Wan Hanafi Su menyifatkan dugaan dan cabaran melakonkan watak sebagai orang minyak dalam filem Lelaki Harapan Dunia ternyata berbaloi apabila dicalonkan pada Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM 27) yang bakal berlangsung pada 5 September depan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

Wan Hanafi atau nama sebenarnya Wan Hanafi Wan Su, 65, berkata, pengalaman menghidupkan watak bernama Awang dalam filem berkenaan bukan mudah lebih-lebih lagi seluruh badannya perlu dihitamkan menggunakan pengilat kasut kulit.

"Pengalaman menghidupkan watak Awang antara yang mencabar, manis, pahit dan melucukan.

"Cuma, seksanya apabila saya terpaksa membersihkan badan saya selama tiga jam untuk menghilangkan kesan hitam pada badan. Tetapi nampak gayanya, ia berbaloi," katanya kepada mStar Online.

Lelaki Harapan Dunia
berlatar sebuah kampung yang terjadi kekacauan akibat salah faham di antara penduduk yang menyangka rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dari hutan ke kampung itu dikatakan berhantu.

Pak Awang yang ingin menghadiahkan rumah tersebut kepada anak perempuannya menyangkal dakwaan tersebut dan meminta penduduk kampung tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan sehingga timbul kekecohan di kalangan mereka.

Sementara itu, Wan Hanafi berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang memandangkan saingannya seperti Lee Sai Peng, Awie, Bront Palarae dan Que Haidar mampu raih kemenangan sebagai Pelakon lelaki Terbaik pada acara gemilang itu.

"Ada rezeki, adalah. Tetapi saya tak jangka boleh menang. Ini merupakan kali pertama saya dicalonkan dalam FFM, itu pun sudah cukup baik," ujarnya.
Wan Hanafi Su

Artikel Lain