KUALA LUMPUR: Pelakon Ungku Ismail berkata ada pihak menganggap penglibatannya dalam kempen Travelling Beruang adalah untuk mengekalkan populariti agar namanya tidak tenggelam daripada dunia seni tempatan. Bagaimanapun Ungku Ismail atau Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz, 30, menyifatkan tanggapan itu tidak berasas kerana hasratnya adalah untuk membangkitkan kesedaran orang ramai mengenai pesakit kanser kanak-kanak menerusi kempen yang diperkenalkan. "Ada orang cakap saya buat benda ini (Travelling Beruang) untuk mengekalkan populariti. "Bagi saya, itu mengarut. Tetapi saya tak kisah apa orang nak kata, yang penting niat saya mahu menimbulkan kesedaran orang ramai terhadap pesakit kanser kanak-kanak dilaksanakan. "Patut mereka tanya, kenapa gunakan beruang untuk kempen ini? Hahaha," katanya kepada mStar Online. Ungku Ismail ditemui pada program khidmat masyarakat Travelling Beruang di wad pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini pada Isnin. Antara artis dan personaliti TV3 yang terlibat dalam Travelling Beruang memberi sokongan kepada salah seorang pesakit kanser kanak-kanak. Selain Ungku Ismail, selebriti Siti Elizad, Fara Fauzana, Maria Tengku Sabri, Yana Samsudin dan Fiza Sabjahan turut menyertai program tersebut. Travelling Beruang bermula sebagai sebuah telefilem yang mengisahkan Ungku Ismail membuat kajian wataknya sebagai seorang ayah yang kehilangan anak kerana kanser. Ia akan disiarkan di TV3 pada November depan. Ungku Ismail memulakan kempen kecil dengan mengajak masyarakat mengenakan topeng muka sebagai tanda kesedaran tentang penyakit berkenaan. Seterusnya kempen Travelling Beruang bertujuan diluaskan memberi kesedaran tentang kanser yang dialami kanak-kanak dan tabung khas iaitu Tabung Travelling Beruang MAKNA ditubuhkan. Menerusi kempen berkenaan, Ungku Ismail telah melawat beberapa destinasi membawa patung beruang sebagai simbolik penjelajahan dan mewakili harapan kanak-kanak yang menghidapi penyakit kanser. Sementara itu, mengenai lawatannya ke wad pediatrik pesakit kanser kanak-kanak, Ungku Ismail berkata, dia mengambil peluang bersama mereka menceritakan pengalamannya sepanjang menjalani penggambaran di beberapa buah negara antaranya Lombok (Indonesia), Perth (Australia) dan Tokyo (Jepun). "Apabila bertemu dengan kanak-kanak ini, saya tidak mahu terlalu beremosi di depan mereka. "Sebaliknya saya mahu memberi semangat dan menceritakan pengalaman-pengalaman saya yang ada untuk memberi pengetahuan mengenal dunia. Kalau sedih sahaja, tiada nilai positif di situ. "Saya berharap kempen ini dapat berterusan dengan menimbulkan kesedaran orang ramai dala sudut lain pula," ujarnya.