PETALING JAYA: Ahli kumpulan Forteen, Ariz memberitahu kehadirannya secara berpasangan dengan pengacara Zulin Aziz di acara-acara hiburan bukanlah untuk menunjuk-nunjuk hubungan istimewa mereka. Ariz atau nama sebenarnya, Saiful Ridzuan Abdul Hamid, 26, berkata, mereka hadir berdua pada acara hiburan adalah sekadar memberi sokongan dan menemani antara satu sama lain. "Kami datang berdua kerana kami kawan rapat dan selain menghargai baju yang ditaja oleh pereka fesyen Ezuwan Ismail pada malam festival filem. "Ia bukan sebab kami ingin memberitahu bahawa kami sudah ada hubungan istimewa atau ingin menimbulkan lagi tanda tanya kepada peminat," ujarnya kepada mStar Online. Ariz berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan hubungannya dengan pengacara Zulin Aziz selempas mereka dilihat hadir pada majlis anugerah Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27) yang diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 5 September lalu. Kedua-dua selebriti ini yang berpakaian sedondon telah menimbulkan reaksi banyak pihak. Sementara itu, Ariz berkata, dia enggan terlalu memikirkan hal peminat sehingga boleh menyekat kebebasan kehidupan peribadinya. "Kalau cakap kami kawan rapat pun mereka tidak akan percaya, saya pun tidak boleh untuk menjaga hati mereka sahaja. "Bagi saya kalau mereka minat saya atau Forteen mereka juga perlu hormati kehidupan peribadi saya dan dengan siapa saya berkawan," ujarnya. Dalam pada itu, Ariz tidak menafikan masih ramai yang memberi komen negatif kepadanya sehingga memaksa dia memadam komen tersebut hampir setiap hari. "Setiap hari saya padam komen-komen negatif mereka, tapi kadang-kadang tak sempat juga nak buang. Saya jadi marah bila mereka berkata negatif terutama bila melibatkan keadaan fizikal. "Kita berkawan dengan seseorang secara ikhlas tanpa mengira rupa paras atau keadaan fizikal," ujarnya.