PETALING JAYA: Pelakon Hanis Zalikha yang dikatakan hamil selepas dia memuat naik status ingin memperlahankan aktiviti seni sebenarnya sedang menantikan "kelahiran" produk tudung jenama Cakenis yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Hanis berkata, dia dan suaminya pelakon Hairul Azreen juga sedang sibuk mengembangkan perniagaan sedia ada selain beberapa produk baharu di bawah jenama mereka. "Saya belum hamil dan kalau sudah mengandung saya akan beritahu, sekarang cuma sibuk meneruskan perniagaan sedia ada dan yang terbaharu bakal melancarkan perniagaan tudung Cekenis," ujarnya kepada mStar Online, menerusi kiriman mesej di sini pada Isnin. Hanis diminta mengulas mengenai beberapa komen pengikut laman sosial Instagramnya yang mengucapkan tahniah kerana menyangkanan dia sedang hamil selepas memuat naik status perkembangan seninya. Gambar Intagram yang menjadi pertanyaan tentang perkembangan terkini yang dimaksudkan Hanis. Pasangan yang baharu sahaja pulang berbulan madu di pulau Bora Bora, Perancis pada bulan lalu itu disangka bakal mendapat cahaya mata. "Tentang gambar berkepsyen perkembangan terkini, saya dan suami lebih ke arah mengembangkan perniagaan kami buat masa sekarang dengan beberapa jenama yang akan dikeluarkan. "Saya lebih selektif dalam aktiviti seni sebab lebih fokus komitmen rumah tangga dan perniagaan," ujarnya. Pasangan berkenaan bernikah pada pada 5 Jun lalu di kediaman Hanis di Bukit Jelutong, dekat sini.