suria

Terlibat Dalam Umno, Anne Ngasri Yakin Tidak Dipinggir Peminat

Anne Ngasri
PETALING JAYA: Pelakon Anne Ngasri yakin penglibatannya dalam politik dengan memegang jawatan Ketua Puteri Umno bahagian Bukit Bintang tidak akan membuatkan peminat dari parti berlawanan meminggirkannya.

Anne atau nama sebenarnya Ngasriah Ngasri, 31, berkata, penyertaannya dalam politik adalah untuk membantu masyarakat dan bukan kerana niat lain yang boleh membuatkan peminat-peminat hilang kepercayaan terhadapnya.

"Dari dahulu lagi saya seorang yang suka tolong orang, tidak kira dalam apa situasi pun.

"Saya tak risau pun peminat yang menyokong parti lawan tidak mahu menyokong kerjaya seni saya kerana setakat ini perkara itu tidak berlaku. Lagipun saya buat benda baik, mahu bantu masyarakat," katanya kepada mStar Online.


Anne Ngasri

Anne ditemui pada majlis pelancaran filem Love, Supermoon di Cineleisure e@Curve  di sini pada Selasa.

Anne memegang jawatan Ketua Puteri Umno Bahagian Bukit Bintang sejak tahun lalu manakala suaminya, Mohd Sumali Reduan adalah Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno.

Dalam pada itu, Anne berkata, biarpun dia  dilihat semakin menyepi daripada bidang lakonan namun dia tidak pernah berhasrat meninggalkan bidang tersebut.

Malah dia bersyukur apabila filem Love, Supermoon yang menjalani penggambaran tiga tahun lalu akhirnya akan ditayangkan pada 22 Oktober depan dan sekali gus menunjukkan dia masih wujud dalam industri.

"Saya tak pernah berhenti dan tidak akan meninggalkan bidang lakonan kerana ia sudah sebati dengan jiwa.

"Cuma masa saya sahaja yang semakin padat dengan aktiviti-aktiviti parti selain sibuk dengan kerja-kerja produksi bersama kakak saya iaitu Darling.

"Mujurlah Love, Supermoon bakal ditayangkan dan ia menunnjukkan saya masih lagi ada dalam industri," tuturnya.
Anne Ngasri

Artikel Lain