suria

Farid Kamil Tidak Sabar Menanti Anak Kedua

Farid Kamil tidak sabar menimang anak kedua. Foto SAMUEL ONG
PETALING JAYA: Pelakon Farid Kamil berharap, tarikh acara Thai Polo & Equestarian Tournament yang bakal disertainya pada Disember depan tidak berubah kerana dia mahu memberi tumpuan terhadap isterinya Diana Danielle yang dijangka bersalin pada November ini.

Farid, 32, berkata, buat masa ini dia sudah mengosongkan jadual kerjanya pada bulan tersebut bagi memastikan dapat berada di samping Diana sehingga anak kedua mereka itu dilahirkan.

"Harap-harap tarikh perlawanan tidak berubah. Ini kerana doktor sudah menjangkakan Diana akan bersalin pada bila-bila masa di bulan November ini.

"Saya mahu berada di samping isteri di saat-saat penting iaitu ketika sarat mengandung dan melahirkan," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Farid  turut meluahkan keterujaannya menantikan kelahiran anak keduanya itu meskipun pernah melalui situasi sama pada kelahiran pertama Diana sebelum ini.

Farid dan isterinya, Diana Danielle.

Bagaimanapun Farid bersyukur apabila melihat isterinya tiada mengalami komplikasi seperti segelintir wanita mengandung lain dan perkara itu memudahkan dia untuk menjaga isteri.

"Walaupun pada kandungan kedua ini Diana mudah letih, tetapi dia tidak mengalami apa-apa masalah. Alhamdulillah... perkara itu buatkan saya lebih teruja untuk menyambut kehadiran ahli baru dalam keluarga kami," ujarnya.

Farid dan Diana berkahwin pada 3 November 2012 dan mempunyai seorang anak, Muhammad yang kini berusia dua tahun.

Sementara itu, mengenai kerjayanya pula, Farid berkata, sudah tiga tahun dia tidak mengarah kerana faktor bajet dan penerimaan masyarakat terhadap filem tempatan yang semakin rendah.

Ditanya adakah Farid tidak berminat untuk mengarah drama atau telefilem, dia risau karyanya di televisyen tidak menjadi.

"Saya dah biasa dengan skil yang besar, takut susah nak berkarya pula. Sekiranya saya mengarah drama atau telefilem, bimbang ia tidak mencapai tahap yang diinginkan," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Farid bakal muncul menerusi lakonannya dalam filem Love, Supermoon, bergandingan dengan Nadiya Nisaa.

Ia bakal ditayangkan pada 22 Oktober depan.

Farid Kamil

Artikel Lain