PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini memberitahu ramai pengikutnya di Instagram sering meminta pendapat dan nasihat berkaitan masalah rumah tangga memandangkan dia pernah berdepan situasi seperti itu sebelum ini. Bagaimanapun, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 39, mengambil langkah tidak membalas komen mahupun mesej secara peribadi di laman sosial berkenaan kerana bimbang nasihat yang diberi itu menambahkan lagi masalah rumah tangga individu berkenaan. "Kebanyakan wanita selalu tanya boleh tak minta alamat e-mel untuk berkongsi masalah rumah tangga kerana dugaan yang mereka lalui itu lebih kurang macam saya. "Ada juga yang bertanya pada saya apa yang mereka perlu buat mengenai masalah perkahwinan yang timbul itu? "Serba salah jadinya tetapi saya mengambil langkah untuk tidak membalas mesej dan komen mereka. Takut tersalah bagi nasihat pula," katanya kepada mStar Online. Rita Rudaini Rita Rudaini merupakan seorang ibu tunggal kepada dua orang anak iaitu, Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4, hasil perkahwinannya dengan bintang bola sepak Aidil Zafuan Abdul Radzak. Mereka bernikah pada 25 Februari 2008 dan bercerai talak satu pada 5 September 2015 selepas lima tahun berkahwin. Sementara itu kata Rita, walaupun tidak memberi nasihat atau berkongsi dengan peminat berkaitan masalah rumah tangganya, namun sebagai selebriti, dia bersikap terbuka untuk berkongsi foto-foto yang melibatkan aktiviti harian bersama anak-anak. Malah, ada masanya Rita turut menceritakan masalah harian yang terpaksa dia lalui pada ketika itu. "Bagi saya, apa yang dah lepas, biarlah ia berlalu. Tetapi saya rajin juga kongsi aktiviti harian saya. Malah, jika berdepan dengan sesuatu masalah pada hari berkenaan, saya akan berkongsi dengan peminat. Ia sekadar perkongsian yang mungkin boleh menjadi pengajaran dan teladan buat yang membacanya," ujar Rita. Dalam perkembangan lain, Rita bakal muncul menerusi filem Love, Supermoon yang bakal ditayangkan pada 22 Oktober depan. Antara pelakon yang turut terlibat termasuklah Farid Kamil, Nadiya Nisaa, Zain Hamid, Anne Ngasri, Zain Saidin dan Azhar Sulaiman.