KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia Afgan memberitahu terkejut apabila mengetahui persembahannya pada malam konsert Suara Hati Afgan yang diadakan di Dewan Planery Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu di tonton oleh idola dan sumber inspirasinya iaitu penyanyi Datuk Sheila Majid. Afgan atau namanya Afgan Syahreza, 26, berkata, ia merupakan kali pertama dia bertentang mata dengan penyanyi tersebut. "Saya terkejut apabila selepas selesai sahaja menyanyikan lagu Ku Mohon penonton bersorak dan menunjukkan kearah penyanyi itu. "Ia ibarat impian saya menjadi kenyataan kerana saya tidak pernah bertemu dengan beliau dan sentiasa berharap dapat bekerjasama suatu hari nanti. "Saya membeli kesemua lagu-lagu beliau dan mendengarnya setiap hari, bukan saya sahaja, malah adik-adik saya juga sangat menyukainya," ujarnya ketika ditemui selepas konsert Suara Hati Afgan yang diadakan di Dewan Planery, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam Jumaat. Persembahan Afgan penuh energetik. Afgan ketika menyedari hal itu mengakui sukar untur meneruskan nyanyian kerana perasaan gemuruh dan teruja. Penyanyi itu juga akhir turun dari pentas ketika menyanyikan lagu Warna bagi bertemu dengan Sheila dan menyanyikannya bersama-sama. "Saya sepatutnya tidak boleh turun pentas pada waktu itu, tapi saya rasa ia adalah masa yang sesuai untuk bertemu dan berduet dengan dia (Sheila Majid). "Saya juga harap kami dapat bertemu dan berduet bersama dengannya suatu hari nanti," ujarnya. Konsert yang dianjurkan oleh Netzah Production dibuka dengan persembahan nyanyian penyanyi baharu Natasha Sass dengan lagu Fight Song dipopularkan oleh Rechel Platten dan Matahari nyanyian Agnes Monica. Afgan membuka tirai konsert berdurasi lebih dua jam itu dengan segmen pertama iaitu alunan lagu-lagu rancaknya berjudul Pesan Cinta, Katakan Tidak, Tak Peduli, Batapa Aku Cinta dan Dia, Dia, Dia. Dia kemudian terus mengegarkan pentas dengan menyanyikan lagu Where Are U Now yang dipopularkan oleh Justin Bieber. Dalam pada itu, Afgan turut menzahir rasa simpati terhadap insiden kren tumbang di Makkah dan meminta penonton menitipkan doa kepada keluarga mangsa-mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut. Dia kemudian menyanyikan lagu ketuhanan popularnya berjudul Padamu Ku Bersujud dan Ku Mohon. Afgan bersama rakan baiknya Rossa. Selain itu, sebanyak 20 buah lagu dinyanyikan dalam konsert tersebut termasuk lagu popularnya Jodoh Pasti Bertemu, Terima Kasih Cinta, Bukan Cinta Biasa, Entah dan Sabar. Lebih istimewa, penyanyi popular Datuk Rossa yang juga merupakan kawan baik penyanyi itu turut diundang sebagai penyanyi undangan. Menurut Afgan, Rossa merupakan salah seorang wanita istimewa dalam hidupnya yang banyak berkongsi perasaan sedih dan gembira. "Dia adalah sahabat baik yang saya anggap seperti seorang kakak. Kami selalu berkongsi masalah sedih dan gembira bersama. "Saya mahu berkongsi kenangan manis dan pentas istimewa ini dengannya," ujarnya. Rossa pada malam tersebut menyanyikan single terbaharunya berjudul Hati Tak Bertuan dan Kamu Yang Kutunggu berduet bersama Afgan. Sementara itu, biarpun tiket bagi konsert ini dijual dengan harga agak tinggi iaitu RM133 sehingga RM855, namun terdapat rungutan dan kekecewaan daripada penonton yang duduk di bahagian kiri pentas. Kren kamera menyukarkan penonton menyaksikan konsert Afgan. Kebanyakan mereka hanya tidak dapat menonton aksi bertenaga Afgan apabila pandangan dari sudut itu dihalang oleh kren kamera yang membuat rakaman konsert tersebut. Terdapat beberapa penonton yang terpaksa berdiri semata-mata untuk menyaksikan aksi penyanyi itu dengan lebih jelas. Perkara seperti itu seharusnya diambil kira pihak penganjur agar lebih mementingkan keselesaan penonton terutama bagi konsert yang mendapat keuntungan daripada penjualan tiket.