suria

Suami Direman Tidak Buat Umie Aida Tertekan

Suami kepada aktres Umie Aida iaitu Khairuddin Abu Hassan direman selama enam hari mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas tuduhan mengancam demokrasi berparlimen. Foto Ihsan Instagram UMIEAIDA818

PETALING JAYA: Pelakon Datin Seri Umie Aida tidak berada dalam keadaan tertekan walaupun suaminya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan direman berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad, 42, berkata, penahanan suaminya pada Jumaat lalu itu mempunyai hikmah selain dugaan daripada Allah.

"Saya tidak risau atau tertekan kerana perkara itu adalah dugaan yang diberikan Allah mengikut kemampuan hamba-Nya.

"Tertekan tiada dalam kamus hidup saya dan saya yakin ada hikmah tersembunyi di sebalik penahannya itu," kata Umie.

Terdahulu, Khairuddin yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan telah direman selama enam hari bermula Sabtu lalu.

Khairuddin direman selama enam hari selepas ditahan di kediamannya di Bukit Kiara pada malam Jumaat lalu.

Khairuddin ditahan pada malam Jumaat lalu di kediamannya di Bukit Kiara dan disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana dipercayai mengancam demokrasi berparlimen.

Pada hari sama beliau yang sepatutnya ke New York bersama peguamnya, Matthias Chang tidak dibenarkan ke luar negara atas sebab-sebab khas selepas pasport mereka disenaraihitamkan.

Beliau adalah ahli Umno pertama yang membuat laporan polis dan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu 1MDB selain beberapa laporan lain di luar negara.

Sementara itu, Umie memberitahu, dia ada cuba untuk berjumpa Khairuddin yang direman di balai polis Dang Wangi pada Sabtu dan Ahad lalu namun gagal berbuat demikian.

Ia disebabkan pihak polis tidak membenarkan sebarang lawatan pada hari cuti iaitu Sabtu dan Ahad.

Umie Aida Sentiasa menyokong suaminya.

"Dua kali saya cuba bertemu dengan suami pada Sabtu dan Ahad lalu tetapi pelawat tidak dibenarkan masuk pada hujung minggu.

"Tetapi saya yakin dia berada dalam keadaan baik dan akan cuba lagi untuk bertemu dengan pada hari lain," jelasnya.

Sementara itu Umie berkata, pendedahan suaminya berhubung isu 1MDB tidak memberi sebarang keuntungan ataupun habuan buat mereka.

Katanya, apa yang dilakukan oleh Khadiruddin itu adalah ikhlas dan sebagai isteri dia tetap berdiri di belakang suaminya untuk memberi sokongan.

"Dalam keadaan apa pun saya akan tetap menyokong tindakan suami kerana apa yang dilakukan itu bukannya mendapat keuntungan peribadi kepada kami.

"Tindakannya itu ikhlas dan saya akan sentiasa berada bersamanya dalam apa jua keadaan sekali pun,"  katanya.

Umie Aida, Khairuddin Abu Hassan

Artikel Sebelum

Artikel Lain