suria

Keith Foo Tidak Mahu Membazir Buat Majlis Resepsi

Keith Foo tidak mahu perkahwinan dihebohkan.
PETALING JAYA: Pelakon Keith Foo merancang untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinannya dengan model Kim Raymond, 29,  pada awal tahun depan.

Keith, 32, berkata, majlis tersebut hanya akan diadakan secara sederhana bagi meraikan keluarga terdekat kedua-dua belah pihak, rakan-rakan dan media.

"Pada mulanya kami ingin buat majlis tersebut pada tahun ini, namun kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja hingga sudah masuk ke hujung tahun, jadi lebih baik kami buat awal tahun depan sahaja.

"Majlis tersebut akan dibuat sederhana sahaja, saya rasa tidak perlu untuk membazir dengan mengadakan majlis mewah. Duit tersebut boleh simpan untuk masa depan daripada membazir," ujarnya kepada mStar Online.

Keith Foo, ditemui pada tayangan perdana filem Girlfriend Kontrak di Cinelesure, di sini, malam Rabu.

Pelakon yang terkenal dengan drama Ariana Rose ini dilaporkan berkahwin dengan Kim Raymond pada 21 Disember tahun lalu.

Pasangan ini dikatakan cuba merahsiakan perkahwinan mereka daripada diketahui umum sebelum berjaya dihidu pihak media.

Keith berkata, dia tidak merahsiakan perkahwinan tersebut, sebaliknya enggan ianya dihebohkan kepada umum.

"Kami mendaftar di rumah sahaja disaksikan oleh keluarga, teman-teman dan beberapa rakan artis yang rapat dengan saya. Mereka semua ada dan tahu, jadi saya tidak merahsiakan apa-apa pun.

"Tapi kalau ada yang kata saya sudah setahun kahwin, itu tidak betul. Sedangkan kami mendaftar pada Disember lalu, belum sampai setahun pun. Jadi, jangan dengar spekulasi. Pada saya perkahwinan tak perlulah diheboh-hebohkan," ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang kehidupan selepas bergelar suami, Keith berkata, rutin hariannya tidak banyak berubah.

Katanya, perkenalan selama 13 tahun dengan wanita itu membuatkan mereka sudah mempunyai keserasian dan mudah untuk menjalani kehidupan berpasangan.

"Saya dan Kim, kami sudah 13 tahun kenal. Sejak kecil saya memang rapat dengan abang dia dan kemudian mengenali dia. Apabila saya pulang ke sini selepas lama berkerja di Indonesia, kami berjumpa semula.

"Dia seorang yang menyokong karier seni saya. Sekarang ini pun, dia yang mengurus dan ingatkan mengenai jadual saya. Cuma yang ketara perubahannya ialah tanggungjawab. Bukan hanya pada isteri tetapi kepada kedua belah pihak keluarga," katanya.

Dalam perkembangan lain, Keith bakal muncul menerusi filem Girlfriend Kontrak  yang akan ditayangkan mulai 24 September 2015 (hari ini).
Keith Foo

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain