PETALING JAYA: Penyanyi Marsha Milan Londoh berkata ramai yang menganggap dia bakal mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun ini memandangkan dia pernah meluahkan hasrat untuk menamatkan zaman bujang pada usianya 30 tahun. Marsha, 30, bagaimanapun menyifatkan kenyataan itu sekadar sasaran namun sehingga kini, dia mahupun pasangannya masih belum memutuskan untuk mempunyai sebarang komitmen. "Saya rasa orang ramai keliru kerana sebelum ini saya pernah meluahkan hasrat mahu berkahwin pada usia 30 tahun. Dan tinggal beberapa bulan saja lagi, maka ada yang beranggapan saya bakal kahwin hujung bulan ini. "Tetapi setakat ini saya dan pasangan belum berbincang untuk ke arah itu," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin. Marsha enggan mendedahkan identiti kekasihnya buat masa ini Marsha diminta mengulas mengenai ura-ura dia bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang jejaka kelahiran Pulau Pinang pada Disember ini. Bagaimanapun tambah Marsha, dia tiada halangan untuk berkahwin pada bila-bila masa sekiranya dia dan kekasih bersedia untuk mendirikan rumah tangga nanti. "Bila tiba masa 'perangai gila' kami muncul, bila-bila masa saja kami akan kahwin," selorohnya. Dalam pada itu, Marsha juga dapat merasakan berita pertunangan Stacy dengan Akim Ahmad pada Sabtu lalu sedikit sebanyak memberi tempias dia yang juga selebriti kelahiran Sabah bakal mengikut jejak pasangan berkenaan. Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu, Marsha sibuk mempromosikan filem lakonannya Jwanita yang kini masih lagi ditayangkan di pawagam. "Sekarang ini memang saya sibuk mempromosikan Jwanita. Saya bersyukur filem ini mendapat respons yang sangat baik. "Pada masa sama saya juga sedang mempromosikan lagu Kutinggalkan Cinta dan ia sudah mula dimainkan di radio-radio tempatan," ujarnya. Selain itu, Marsha juga turut memberi tumpuan pada perniagaannya iaitu Marsha Milans.