PETALING JAYA: Budi baik seorang gelandangan yang menemui dompet berisi sejumlah wang benar-benar menyentuh hati bekas juruhebah RTM iaitu Noramin. Noramin atau nama sebenarnya, Mohd Nor Amin, 64, berkata, lelaki berbangsa India itu bukan sahaja memulangkan dompet tersebut dengan jumlah wang yang sama, malah enggan menerima ganjaran yang diberikan sebagai tanda terima kasih. "Kisah tersebut terjadi di Negeri Sembilan selepas saya kehilangan dompet yang berisi duit sebanyak RM2,500. Wang itu baru saya keluarkan untuk membayar duit ansuran kereta. Malangnya ketika makan di sebuah restoran ia tercicir. "Keesokan harinya iaitu pagi Rabu saya pergi semula di kawasan restoran dan tempat letak kereta untuk mencari dompet itu, walaupun hati saya mengakui sukar untuk menemui semula jumlah wang tersebut. "Namun nasib saya baik, apabila seorang lelaki berbangsa India datang dan bertanya saya tentang dompet tersebut. Dia memulangkan semula seperti dalam keadaan asal," ujarnya kepada mStar Online. Noramin (kiri) sempat mengambil gambar sebagai kenangannya bersama lelaki gelandangan yang memulangkan wangnya. Van buruk dibelakang itulah kediaman lelaki berkenaan. Jelas Noramin, selepas memeriksa keseluruhan duit dan kad kredit, dia pasti tiada satu pun yang diambil oleh lelaki tersebut. Hatinya berasa tersentuh hingga mengambil keputusan mengeluarkan sejumlah wang untuk diberikan kepada lelaki itu. "Saya lihat dia seperti tidak terurus dan ketika ditanya tinggal dimana, dia hanya menunjukkan sebuah kereta usang yang terbiar di kawasan parking tersebut. "Dia kata, hanya makan roti yang dikongsi dengan seorang lagi gelandangan lelaki berbangsa Cina yang tidur berhampiran tempatnya itu. "Jadi saya terus keluarkan RM1,000 untuk diberikan kepadanya, namun apa yang menyentuh hati saya, dia tidak ambil, malah tangannya tidak bergerak langsung untuk ambil duit yang saya hulurkan itu," ujarnya. Noramin berkata, dia berasa pelik dengan hal itu dan bertanya mengapa lelaki India itu bertindak sedemikian? Lelaki itu menjawab wang bukan ukuran dalam hidupnya kerana wang jugalah menjadi punca dia dihalau oleh anak-anak dari rumah. "Dia cakap dia tak perlu duit untuk hidup senang, dia sudah gembira melalui hidup sekarang biarpun tiada tempat tinggal. "Katanya duit juga punca anak-anaknya benci kepadanya hingga halau dia dari rumah mereka," ujarnya. Noramin berkata, selepas itu, lelaki tersebut hanya meminta diberikan sehelai baju yang tidak digunakan untuk dipakai. Sementara itu, Noramin berkata, kejadian itu membuatkan dia berfikir tentang erti sebuah kehidupan sebenar yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Ia juga merupakan kejadian pertama yang benar-benar membuatkan dia sebak jika mengenangkannya semula. Noramin merupakan seorang juruhebah radio RTM yang terkenal pada era 80an dengan program berjudul Mosyi Mosyi.