suria

Azmarul Azuan Berjaya Kurangkan Berat Badan 50 Kilogram

Azmarul Azuan sebelum ini pernah memasuki pertandingan Vokal Bukan Sekadar Rupa.

PETALING JAYA: Penyanyi dan bekas peserta program Vokal Bukan Sekadar Rupa terbitan TV3 pada 2011, Azmarul Azuan nekad untuk mengurangkan berat badannya agar lebih bertenaga ketika mengadakan persembahan.

Azmarul, 30, berkata, setakat ini dia berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 50 kilorgram daripada berat asalnya iaitu 220 kilogram.

"Saya bukan ingin kurus kerana ingin kelihatan elok dari segi fizikal tetapi sedar saya perlu nekad mengurangkan berat badan demi kesihatan dan stamina untuk mengadakan persembahan.

"Alhamdulillah saya berjaya kurangkan berat badan sebanyak 50 kilogram sejak program Vokal Bukan Sekadar Rupa tamat," katanya kepada mStar Online.

Azmarul yang kini bernaung dibawah syarikat rakaman Cloudworks Entertainment baharu sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Akhirnya Padamu.

Dalam pada itu, Azmarul berkata, biarpun badannya masih gempal namun dia melihat banyak perubahan berlaku terutamanya stamina ketika mengadakan persembahan.

Kata Azmarul, selain melakukan senaman dia kini amat mementingkan penjagaan pemakanan seimbang dalam dietnya.

"Kalau dahulu saya cepat letih dan tercungap-cungap tetapi kini Alhamdulillah masalah itu semakin berkurangan.

"Saya berharap dapat menurunkan lagi berat badan selepas ini demi kerjaya dan kesihatan saya," katanya.

Sementara itu, Azmarul berkata, dia tidak pernah berputus asa untuk mengejar cita-citanya sebagai penyanyi walaupun namanya semakin tenggelam.

Kata Azmarul, dia tidak bimbang mengenai populariti kerana peminat hari ini lebih bijak menilai bakat seseorang artis.

"Dulu memang saya anggap populariti itu penting tetapi sekarang saya sedar bakat yang harus saya ketengahkan terlebih dahulu dan perkara itu akan datang dengan sendirinya," katanya.

Azmarul Azuan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain