suria

Masalah Kewangan Punca Siti Nurhaliza Tukar Pelan Konsert

Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR: Masalah kewangan menjadi punca Datuk Siti Nurhaliza Tarudin membatalkan Konsert Bio Muzikalnya dan digantikan dengan Konsert Satu Suara Volume 2 yang bakal berlangsung di Istana Budaya di sini pada 7 dan 8 November depan.

Siti berkata, kekangan mendapat penaja untuk konsert muzikal yang berskala besar membuatkan beliau terpaksa menggantikan kepada konsert lain selain memendekkan jumlah persembahan.

"Saya terpaksa menangguhkan konsert Bio Muzikal yang sudah dirancang lama kerana banyak kekangan terutamanya dari segi kewangan.

"Namun, saya mengantikan dengan konsert Satu Suara Volume 2 sebagai 'plan b' yang berlangsung selama dua hari sahaja berbanding konsert bio muzikal yang dirancang selama lapan hari," ujarnya kepada mStar Online.

Siti ditemui pada sidang media Konsert Satu Suara Volume 2 yang diadakan di Bilik Nilam Sari, di sini, Isnin.

Hadir sama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Siti Nurhaliza bersama Mohamed Juhari.

Dalam pada itu, Siti berkata, biarpun berasa sedikit terkilan, namun beliau menganggap ia mempunyai hikmah tersendiri.

"Nak kata saya terkilan, tidaklah terkilan sangat kerana saya percaya ada hikmah kenapa ia berlaku.

"Saya faham keadaan ekonomi sekarang agak sukar untuk mendapat tajaan, bukan saya sahaja yang mengalami masalah penaja , malah penganjur lain turut sama berhadapan masalah ini," ujarnya.

Sementara itu, konsert Satu Suara Volume 2 ini bakal menampilkan persembahan istimewa penyanyi popular Datuk Ramli Sarip dan penyanyi Indonesia Hetty Koes Endang.

Siti berkata, pemilihan dua artis legenda itu berdasarkan pengaruh dan pengalaman mereka dalam industri seni.

"Ketiga-tiga penyanyi ini memiliki keistimewaan tersendiri terutama daripada segi vokal dan mampu menyampaikan lagu pelbagai genre muzik.

"Gabungan ini merupakan kali pertama dan merupakan tarikan utama kerana masing-masibg mempunyai peminat sendiri," ujarnya.

Dalam konsert yang berdurasi dua jam itu Siti bakal mempersembahkan nyanyian lagu-lagu secara solo, berduet dan juga trio.

"Saya dalam proses perbincangan untuk menyanyikan lagu apa dan yang pastinya akan ada lagu-lagu sendiri, duet dan secara trio," ujarnya.

Konsert Satu Suara Volume 1 pernah diadakan lima tahun lalu yang menampilkan Aizat dan Faizal Tahir.

Tiket konsert ini akan bermula Jumaat ini dan boleh dibeli secara dalam talian menerusi www.AirAsiaRedtix.com

Ia dijual dengan harga RM78, RM108, RM218, RM238, RM258, RM278, RM338 dan RM518. 

 

Siti Nurhaliza

Artikel Lain