AMPANG: Penyanyi Adira masih menyimpan sedikit perasaan sayang terhadap bekas tunangnya Shahrul Nasrun Kamarudin walaupun hubungan mereka sudah putus sejak April lalu. Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 24, berkata, sebagai manusia biasa, sukar untuk dia mengikis perasaan itu disebabkan hubungan yang dijalinkan sudah terlalu lama. "Ada pihak yang kata saya tidak nampak sedih. Mungkin mereka lihat saya gembira tapi mereka tidak tahu perasaan sebenar saya. Kami berkawan lama dan sudah tentu sehingga sekarang masih ada lagi rasa sayang dalam hati saya terhadap dia," katanya kepada mStar Online. Adira ditemui pada majlis pelancaran Festival Orang Asli dan Pribumi yang diadakan di Restoran Istana Bambu, di sini, Khamis. Tambah Adira lagi, kejadian gempa bumi di Sabah baru-baru ini turut mengalihkan tumpuan kesedihannya terhadap kegagalan hubungan tersebut. Dia juga lebih memikirkan keselamatan ibu dan keluarganya yang ditimpa bencana berbanding masalah yang dilalui. Detik indah Adira bersama Shahrul Nasrun yang kini tinggal kenangan. "Selepas saya putus tunang, rumah saya di Sabah terlibat dengan gempa bumi dan perkara itu membuatkan saya lupa tentang masalah tersebut. "Saya asyik fikirkan ibu dan ahli keluarga lain dan menganggap mereka lebih memerlukan saya ketika itu," ujarnya. Dalam pada itu, Adira memberitahu, tarikh lahirnya pada 19 September lalu sepatutnya menjadi hari bersejarah hubungan mereka namun ia hanya tinggal kenangan. Bagaimanapun rakan-rakan terdekat meraikan hari tersebut bagi membuatkan dia lupa dan tidak bersedih mengenangkan kesedihan sebelum ini. "Kalau ikut rancangan hari perkahwinan saya pada hari lahir saya iaitu 19 September lalu, namun nak buat macam dah tiada jodoh. "Ucapan dan kejutan yang dibuat oleh kawan-kawan saya pada hari tersebut membuatkan saya lupa ia sepatutnya menjadi hari bersejarah saya," ujarnya. Adira berkata, buat masa ini dia masih menjaga batasan dan menolak mana-mana lelaki yang ingin mendekatinya semata-mata mahu menjaga hati keluarga bekas tunangnya itu. "Sejak saya putus tunang ada juga beberapa orang yang ingin mendekati saya tapi saya tolak, kadang-kadang dengan alasan yang tidak masuk akal. "Saya belum bersedia dan hati saya belum terbuka untuk terima lelaki lain, saya juga ingin menjaga hati dan perasaan keluarga bekas tunang. "Saya tidak mahu mereka kata apa pula nanti, baru sahaja putus sudah anda pengganti, " ujarnya. Dalam pada itu mengenai Festival Orang Asli dan Peribumi, Adira yang merupakan suku kaum daripada etnik Kadazan Dusun bakal membuat persembahan pada 23 hingga 25 Oktober ini di Taman Tasik Titiwangsa, dekat sini. Katanya, sebagai salah seorang masyarakat peribumi, dia berbangga dapat memberi sumbangan dan meraikan hari tersebut. "Saya rakyat Malaysia yang berbangsa Kadazan Dusun saya bangga diberi peluang menyertai festival ini. Saya akan menyanyikan dua buah lagu dalam bahasa Dusun," ujarnya.