suria

Persaingan Konsert, 'Ku Mohon' Mampu Tarik Orang Ramai

Erma Fatima dan Erra Fazira turut terlibat dengan konsert 'Ku Mohon' yang akan berlangsung pada 31 Oktober ini. Foto RICKY LAI
PETALING JAYA: Pertembungan dua konsert membabitkan kumpulan Wings dan Hujan pada 31 Oktober ini tidak akan menjejaskan Konsert  'Ku Mohon' Tuhan Berikan Aku Cinta yang turut berlangsung pada hari sama.

Penganjurnya, Pengarah Negara Islamic Relief Malaysia (IRM)  Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, perkara itu tidak dilihat sebagai satu perkara besar kerana setiap konsert mempunyai peminat yang tersendiri.

"Tidak ada masalah jika dalam masa satu hari ada konsert-konsert lain yang berlangsung.

"Bagi saya itu satu persaingan yang sihat selain setiap konsert mempunyai peminat yang tersendiri," katanya.

Selain konsert 'Ku Mohon', Wings juga bakal mengadakan Konsert 30 Tahun Wings di Stadium Merdeka dekat sini manakala Hujan pula mengadakan  #hujan10tahun di KL Live.

Konsert ‘Ku Mohon’  pula bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, dekat sini.

Antara barisan penyanyi yang terlibat dengan konsert Ku Mohon termasuklah Anuar Zain, Akim & The Majistret, Erra Fazira, Raihan, Ebiet G Ade, Opick, Humood Al Khudeer dan Zain Bikha.

Sebanyak 18 buah lagu akan dipersembahkan sepanjang konsert ini diselang-selikan dengan lakonan, motivasi dan kata-kata semangat yang mengajak masyarakat menzahirkan rasa cinta mereka kepada perkara dan perbuatan baik.

Tujuan utama konsert ini diadakan adalah untuk meraikan sambutan ulang tahun IRM yang ke-10 disamping mengumpul dana kemanusiaan bagi membantu penerima-penerima manfaat IRM di seluruh dunia.

Selain itu, konsert ini juga bertujuan untuk mempromosi dan memperkenalkan IRM sebagai sebuah organisasi kemanusiaan bertaraf antarabangsa.

Dana yang dikumpul bakal disalurkan kepada dua projek utama IRM di dalam Malaysia, Gift of Hope dan Desa Lestari dan juga di negara-negara luar di mana Islamic Relief beroperasi seperti di Kosova, Sri Lanka, Bangladesh, Bosnia, Palestin (Gaza) dan Syria menerusi projek-projek yang telah dan bakal dikenalpasti.

IRM mensasarkan dana sebanyak RM5 juta bagi konsert berkenaan melalui penjualan tiket dan tajaan.

Selain persembahan lagu,  konsert yang berdurasi 90 minit turut dimanfaatkan dengan persembahan oleh pelakon-pelakon terkenal tanah air.

Dengan bimbingan pengarah Erma Fatima, 'Ku Mohon' turut diserikan dengan kemunculan Umie Aida, Erra Fazira, Remy Ishak dan Ungku Ismail Aziz.

Turut mewarnai dan memantapkan lagi konsert ini adalah barisan pemuzik-pemuzik handalan yang merupakan tulang belakang kepada konsert ini dan diketuai oleh Eddie Slam.

Tiket berharga RM73 hingga RM383 boleh didapati secara dalam talian di www.ticketpro.com.my

Ku Mohon

Artikel Sebelum

Artikel Lain